Hasrat pesakit kanser cilik ini hendak menjaga mak ayahnya tidak kesampaian

Hasrat pesakit kanser cilik ini hendak menjaga mak ayahnya tidak kesampaian

 

 

“Abang pergilah, mama reda. Mama tak kuat tengok abang dalam keadaan begini,” kata ibu kepada kanak-kanak penghidap barah hati, Nurul Asyikin Razak sebelum anaknya dijemput Ilahi, jam 10.30 malam kelmarin.

Nurul Asyikin, 32, berkata, beberapa minit selepas kata-kata itu dibisikkan di telinga Putra Airell Asraq Mohd Aqimie, 8, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir.

Putra Airell Asraq disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Kata Nurul Asyikin, dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang semakin lemah dan tidak sedarkan diri.

Malah, sejak seminggu lalu, otak Putra Airell Asraq disahkan lumpuh dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Putra Airell Asraq dimasukkan ke wad di HUSM sejak 1 April lalu kerana chemo port di dadanya membengkak serta bernanah. Selepas itu, dia terus dipantau di wad sehinggalah tahap kesihatannya semakin menurun.

“Putra Airell Asraq bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan minggu lalu kami dimaklumkan doktor otaknya sudah lumpuh dan diminta bersedia berdepan semua kemungkinan.

“Sejak keadaan Putra Airell Asraq kritikal, saya tidak pernah tinggalkannya dalam tempoh lama. Alhamdulillah dia pergi dengan tenang,” katanya ditemui di rumah ibunya di Kok Lanas di sini, semalam.

Nurul Asyikin berkata, beberapa hari lalu, dia meminta kebenaran pihak hospital agar dua lagi anaknya, Putra Aqeef Asraq, 4, serta Putra Ariq Aisy Asraq, 7, dapat bertemu abang mereka dan permohonan itu diluluskan.

“Sebaik abang ngah (Putra Ariq Aisy Asraq) pegang tangan Putra Airell Asraq dan memberitahu mereka datang menziarah, dalam keadaan koma, air mata Putra Airell Asraq berlinang dan pertemuan itu kali terakhir antara mereka tiga beradik.

“Alhamdulillah saya sempat tunaikan banyak permintaan Putra Airell Asraq termasuk bertemu idolanya, Ustaz Ebit Lew yang datang menziarah di wad walaupun ketika itu dia tidak sedarkan diri,” katanya.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kalong di sini, jam 10.15 pagi semalam.

Kisah anak syurga itu mengundang pilu dalam kalangan pembaca berikutan keengganannya dijemput Ilahi kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya.

Putra Airell Asraq yang membahasakan dirinya sebagai abang menjalani pembedahan membuang sebahagian hati diserang sel barah pada 2016 namun sel itu kembali menyerang penghujung tahun lalu. – HM