Hati-hati dengan sindiket penipuan badal Haji, jangan sampai kena scam

Hati-hati dengan sindiket penipuan badal Haji, jangan sampai kena scam

 

Rakyat Malaysia diminta untuk lebih berhati-hati dengan isu tawaran badal (upah) haji yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sebelum menjelang musim haji tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, lambakan iklan badal daji di media sosial rata-rata menawarkan kos serendah RM1500.00 hingga RM3500.00 seorang.

Persoalannya, apabila ditanya siapakah yang akan diupah untuk mengerjakan badal haji, rata-rata menyatakan mereka menggunakan khidmat penduduk tempatan atau pelajar-pelajar Malaysia yang menetap di Arab Saudi.

Mohd Khalid berkata, untuk makluman, pihak Kementerian Haji Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819.47) hingga SAR 11,841 (RM14,322.68).

“Bayangkan sebagai penduduk tempatan Arab Saudi sendiri perlu membayar dengan kos yang agak tinggi bagi mereka untuk mengerjakan ibadah haji.

“Dengan kos yang dikenakan kepada penduduk tempatan seperti yang dinyatakan adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia diminta untuk tidak terperdaya dengan kos sedemikian yang ditawar oleh mereka.

Beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada syarikat-syarikat yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah semata-mata mahu mengaut keuntugan semata-mata dengan megenepikan soal halal dan haram.

“Kami mencadangkan agar kerajaan mengawal selia perniagaan Badal Haji mengikut perundangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa ada pengawasan,” ujarnya.