“Hati-hati keluar pandangan hukum“, Menteri Agama tiba-tiba tegur Mufti Wilayah

“Hati-hati keluar pandangan hukum“, Menteri Agama tiba-tiba tegur Mufti Wilayah

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru institusi mufti agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan hukum, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan kegusaran dan polemik di kalangan masyarakat.

Dalam perbualan dengan Berita Harian, beliau menyatakan penghargaan terhadap penjelasan hukum yang dikeluarkan oleh mufti, tetapi menekankan perlunya hujah yang konkret serta penyelesaian yang jelas disertakan.

Beliau menegaskan perlunya mufti menggunakan kuasa dan kelayakan mereka secara tanggungjawab agar pandangan hukum yang dikeluarkan tidak hanya berisi nasihat, tetapi juga menawarkan jalan penyelesaian.

“Saya fikir isu ini dapat dijadikan satu pengajaran. Saya harap, dalam hal persoalan hukum, mufti diberikan kuasa dan kelayakan untuk mengeluarkan pandangan.

“Mengenai isu ini (hukum bekerja di bank konvensional), ia tidak dirujuk kepada menteri dan dikeluarkan begitu sahaja. Saya berharap sahibus samahah, walaupun pandangan mereka dihormati, namun dalam masa yang sama, mereka perlu lebih berhati-hati.

“Kedua, bila keluarkan satu pandangan, hendaklah selesai, jangan tergantung begitu sahaja. Oleh itu, saya harapkan mufti mana pun, dengan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan, bila satu pandangan dikeluarkan, jangan sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan awam, dan sebaiknya memberikan penyelesaian yang jelas mengenai kedudukan isu tersebut,” katanya.

Isu ini timbul setelah jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, mengenai hukum bekerja di bank konvensional dalam ruangan ‘Irsyad Al-Fatwa ke-823’ di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 18 Januari lalu.

Dalam jawapannya, Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan kakitangan institusi perbankan untuk mencari pekerjaan halal lain kerana sektor itu terlibat dengan riba.

Menteri Hal Ehwal Agama menambah bahawa galakan bagi mufti untuk menyampaikan pandangan hukum amat dihargai, tetapi pandangan tersebut harus bersifat tuntas dan tidak menimbulkan kekeliruan atau pertikaian lanjut di kalangan masyarakat.

Beliau juga menekankan perlunya mufti menyertakan solusi sehingga pandangan tersebut membawa kepada penyelesaian yang jelas.

“Pandangannya mungkin tidak sampai tahap fatwa, ia lebih kepada pandangan atau nasihat.

Tetapi golongan mufti ini apabila mereka mengeluarkan sesuatu pandangan, orang akan menganggapnya sebagai fatwa. Inilah yang sering berlaku,” katanya.