Hebat!!! Tanpa ‘kebijaksanaan’ Azmin pun Negeri Sembilan mampu pecah rekod

Hebat!!! Tanpa ‘kebijaksanaan’ Azmin pun Negeri Sembilan mampu pecah rekod

Sebanyak RM7.9 bilion jumlah kelulusan pelaburan direkodkan Negeri Sembilan menerusi 162 projek bagi kesemua sektor pada tahun lepas berbanding RM6.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut adalah rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri ini.

“Ini adalah rekod baharu di Negeri Sembilan, keputusan terbaik sejak 10 tahun yang lepas. Saya rasa ini adalah faktor yang menarik ketika kita menghadapi Covid-19, kerajaan negeri mampu menarik pelaburan baik yang pastinya mengembirakan rakyat.

“Ia melibatkan pelaburan domestik dan asing. Walaupun jumlah pelaburan asing di Malaysia mengalami penurunan berbanding 2019, Negeri Sembilan mengalami peningkatan pelaburan asing sebanyak RM3.8 bilion pada 2020 berbanding RM1.3 bilion pada tahun 2019,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Covid-19) di Wisma Negeri di sini, baru-baru ini.

Menurut Aminuddin, menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu, daripada jumlah berkenaan, RM6.4 bilion disumbangkan menerusi sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih dengan peningkatan 75 peratus berbanding tahun 2019.

“Walaupun terkesan dengan isu pandemik, negeri ini mempunyai kelebihan tersendiri termasuk lokasi strategik, kemudahan infrastruktur baik dan kelulusan projek yang pantas menarik minat pelabur melabur di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 4,332 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sehingga 4 Mac lalu.

“Bilangan dos yang diterima Negeri Sembilan setakat ini sehingga 5 Mac 2021 adalah sebanyak 19,890 untuk kegunaan 9,945 orang petugas barisan hadapan yang akan menerima dua dos suntikan.

“Bagi fasa pertama vaksin Covid-19, dianggarkan seramai 21,000 orang ‘frontliners’ sedang dan akan menjalani proses vaksinasi ini. Pemberian vaksin fasa pertama telah pun bermula pada 1 Mac dan seramai 4,332 ‘frontliners’ telah mendapat suntikan sehingga 4 Mac 2021,” katanya. – Utusan