“Hentikan kegilaan ini” – Doktor dedah perkhidmatan Chiropractor tak diiktiraf KKM, beri kesan panjang pada tulang pesakit

“Hentikan kegilaan ini” – Doktor dedah perkhidmatan Chiropractor tak diiktiraf KKM, beri kesan panjang pada tulang pesakit

Sakit pinggang, tulang belakang dan leher menjejaskan pergerakan serta aktiviti seharian individu. Selain menangani masalah itu dengan urutan, menjadi trend ketika ini ramai yang mula mendapatkan rawatan secara alternatif dengan menggunakan khidmat kiropraktor.

Selain itu, kunjungan daripada selebriti tempatan dan juga pempengaruh yang memberi ulasan baik mengenai perkhidmatan itu membuatkan ramai yang tertarik untuk mencubanya sendiri.

Namun, seorang pegawai perubatan mendedahkan perkhidmatan yang telah tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan itu bukan di bawah bidang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi satu hantaran di Instagram, Dr Shahir menunjukkan gambar keputusan MRI bahagian tulang belakang leher seorang pesakit yang didapati sudah beralih dari kedudukan asal setelah mendapatkan perkhidmatan kiropraktor.

“Saya rasa kita perlu hentikan kegilaan ini. Dapatkan konsultasi daripada pakar yang terlatih atau doktor berkaitan (pain doctor).

“Jangan serahkan diri anda untuk ditarik-tarik atau dipulas leher anda. Sama-sama kita hentikan perkara ini,” tulisnya.

Kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh ahli Fisioterapi menyatakan perkhidmatan tersebut (kruk krak) tidak diiktiraf oleh KKM.

“Ini yang kami Fisioterapi sangat bimbangkan. Kalau tak bernasib baik, inilah yang mungkin terjadi,” katanya.

Di ruangan komen, ada beberapa individu berkongsikan pengalaman ahli keluarga yang mendapatkan rawatan dari kiropraktor. Akibatnya, mangsa lumpuh separuh badan.

“Perkara ini berlaku kepada arwah ayah saya. Arwah pergi jumpa chiropractor sebab sakit belakang. Alih-alih arwah langsung tak boleh jalan.

“Rupanya arwah ada kanser tahap empat yang dah sampai tulang belakang. Bila chiropractor pulas dan tekan, tulang tu pecah dan arwah lumpuh separuh badan,” kongsi Hajar Siti.

“Dari pengalaman kakak sendiri, lebih baik jumpa doktor, buat MRI insya-Allah kita dapat tahu sakit kita yang sebenar,” kata Suri Yusof.