Hidup kalau tak boleh bagi orang senang, jangan susahkan orang lain, kata Dr Khalid

Hidup kalau tak boleh bagi orang senang, jangan susahkan orang lain, kata Dr Khalid

Dalam keadaan Pandemik Covid-19 melanda negara pada ketika ini. Paling sukar ditelan adalah apabila Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan para menteri kerajaan sedia ada sanggup membohongi rakyat dengan pelbagai kenyataan dangkal dan menyakitkan.

Bayangkan jika seorang Menteri Kewangan yang dilantik kerajaan untuk menjaga pelaburan dan kewangan negara sentiasa menafikan kejatuhan ekonomi demi menjaga reputasi peribadi serta mengipas Perdana Menteri.

Indikator Kewangan yang digunakan oleh pemimpin negara dengan mengatakan bahawa tahap pelaburan dan kewangan negara dalam keadaan stabil adalah satu kesalahan kerana hakikatnya pada suku ketiga 2020, negara kita berada pada tahap paling rendah berbanding negara-negara lain.

Dr. Muhammed Abdul Khalid berkata demikian dalam satu kenyataan ketika menjawab soalan secara langsung dalam Rancangan Bicara Santai PKP di Jom Channel malam tadi.

“Ini merupakan satu pemikiran lapuk, sedangkan suku kedua yang tidak disebut menyaksikan Malaysia berada dalam keadaan paling teruk dalam sejarah. Pelaburan asing jatuh 50 peratus tetapi Menteri Kewangan tetap mengatakan bahawa ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik, mereka tutup mata ke?” soal beliau.

Ahli Majlis Pengarah, Malaysia Institute of Economic Research itu turut sinis kepada kerajaan dengan berkata “Hidup kalau tak bagi orang senang, jangan bagi orang susah.” Beliau menyentuh tentang pengeluaran KWSP rakyat yang dirumitkan oleh pihak kerajaan.

Menurutnya para menteri mendapat gaji purata RM50,000 sebulan, tidak perlu membayar bil elektrik, bil air dan sebagainya, mereka tidak akan merasai derita ini. Rakyat marhaen sentiasa tertekan, malah ada antara mereka yang memang sedia susah sejak sebelum wujudnya Covid-19.

“Majoriti rakyat Malaysia tiada simpanan. Purata 77 peratus rakyat Malaysia hanya mempunyai  RM554 simpanan. Apabila sesuatu krisis seperti ini terjadi, mereka akan mudah jatuh miskin,” tegasnya.

Katanya lagi di Malaysia sekarang ini, kadar kehilangan  pekerjaan telah mencecah 800,000 orang. Manakala  individu yang tidak cukup kerja (under employed) -30  jam seminggu adalah seramai 420,000 ribu orang. Ini bermaksud  1.2 juta rakyat Malaysia terjejas dan tidak termasuk mereka yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan.

Bagaimana mungkin Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memberitahu rakyat bahawa ekonomi Malaysia berada dalam keadaan stabil?

Wayang apa yang sedang dimainkan kerajaan? – JC