Hina wartawan, Idris tetap berkeras enggan mohon maaf
Selepas pegawai khasnya tampil mempertahankan tindakannya yang didakwa menghina seorang wartawan wanita, Idris pula tampil menegaskan tiada keperluan untuknya meminta maaf terhadap wartawan tersebut.
Idris bangun menjawab perkara yang dibangkitkan oleh V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah berkaitan insiden menghina wartawan wanita portal akhbar FMT, Minderjeet Kaur yang didakwa dilakukannya bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim ketika sesi sidang Dewan Rakyat petang tadi.
“Walaupun ini perkara luar konteks, saya rasa, pada saya, tiada unsur bersifat provokasi pun,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu pada sidang Parlimen petang tadi.
Sivakumar mengambil kesempatan mencelah ketika membahaskan isu berkaitan kementerian Idris berkata, wartawan FMT itu tidak sepatutnya dilayan sebegitu kerana bertanya isu penutupan kedai judi nombor ekor di Kedah dan impaknya ke atas hak bukan Muslim seperti dilaporkan portal FMT.
“Saya rasa perkara seperti itu perlu dielakkan sebab wartawan itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Dia nak tahu apakah sebab kerajaan Kedah mahu menutup semua kedai-kedai nombor. Jadi, tidak salah untuk wartawan itu bertanya seperti ini.
“Saya minta kepada YB menteri dan juga kepada timbalan menteri (Awang Hashim) supaya memohon maaf kepada beliau dan juga keluarganya secara terbuka,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Idris tidak berbuat demikian, sebaliknya berkata, beliau tidak melakukan sebarang provokasi.
Semalam, apabila ditanya mengenai isu penutupan kedai judi nombor ekor di Kedah oleh Minderjeet, Idris membalas dengan bertanya “You setuju ke kalau suami you kaki judi?”.
Minderjeet mengingatkan menteri itu bahawa isu berkenaan bukan mengenai keluarganya.
Idris enggan menjawab sebarang soalan lanjut selagi wartawan FMT itu tidak menjawab soalannya.
Beberapa kumpulan advokasi media dan ahli politik hari ini membidas dua pemimpin PAS itu kerana bersikap bermusuh terhadap wartawan yang hanya menjalankan tugasnya.
Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Farah Marshita Abdul Patah berkata, kesatuan itu tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa pemimpin dan ahli politik seperti pemimpin PAS berkenaan yang “membuli wartawan ketika menjalankan tugas”.
Dalam temu bual kontroversi itu, Awang turut mencelah dan beberapa kali berkeras mahukan Minderjeet bertanya soalan dalam Bahasa Melayu, malah secara sinis bertanya sama ada wartawan itu warga Malaysia.
Sivakumar berkata, penggunaan kata-kata kasar terhadap wartawan tidak harus berlaku walaupun dia “faham” kenapa kerajaan pimpinan PAS di Kedah mengumumkan tidak lagi akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.
“Saya faham ini adalah niat PAS untuk meraih undi pilihan raya negeri Melaka. Itu adalah strategi tetapi cara YB menteri menangani isu ini dengan mengadakan konfrontasi dengan bahasa kasar terhadap wartawan wanita itu tidak baik,” katanya.