Hishammudin persoal tindakan Umno tiada hala tuju yang jelas

Hishammudin persoal tindakan Umno tiada hala tuju yang jelas

Ketua Bahagian Umno Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melontarkan persoalan kepada pucuk pimpinan parti mengenai apa sebenarnya hala tuju dan kemahuan parti itu susulan polemik politik terbaru yang timbul kebelakangan ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan yang sedang berlaku di dalam Umno dan ramai bertanya apakah maklum balas dan pandangannya.

Katanya, sekiranya parti memutuskan semua Menteri Umno perlu meletak jawatan, beliau akan patuh dan letak jawatan.

“Bagaimanapun, dalam menentukan kerjasama politik, Umno harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti.

“Pertimbangan yang dibuat jangan bersandarkan emosi dan kesan jangka pendek.

“Ini kerana keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya Umno, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan dan juga kedudukan parti dalam pilihan raya yang akan datang.

“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti harus putuskan dengan siapa Umno akan bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar berkata, perancangan kerjasama politik Umno harus dibuat dengan teliti kerana pilihanraya bukannya esok.

Katanya, Umno mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

“Iktibar yang harus diambil oleh Umno adalah kita Barisan Nasional (BN) hanya menang 79 kerusi pada PRU-14 daripada 133 kerusi yang kita menangi pada PRU-13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini.

“Tambahan, kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, Umno sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin mereka prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat.

Katanya, pemimpin Umno diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara selain mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.

“Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin Umno.

“Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan.

“Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya Umno inginkan. Putuskanlah yang terbaik,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660911/apa-sebenarnya-yang-umno-mahu-hishammuddin