Hishamuddin wajar bersihkan diri dari salah laku terlibat dalam skandal ‘Ops Yaman 2’ secara haram – Lih Kang

Hishamuddin wajar bersihkan diri dari salah laku terlibat dalam skandal ‘Ops Yaman 2’ secara haram – Lih Kang

Seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata, Hishammuddin Hussein tidak sepatutnya dilantik sebagai menteri pertahanan kerana peranannya dalam fasa kedua operasi ketenteraan di Yaman sebelum ini.

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang berkata, Hishammuddin tidak mendapat kebenaran Kabinet untuk Ops Yaman 2 pada 2015 ketika mengetuai kementerian berkenaan. Ketika itu, tentera Malaysia terlibat dalam operasi logistik membawa peluru, alat ganti dan bahan letupan untuk pakatan tentera Arab.

“Secara ringkasnya, tentera Malaysia terlibat dalam ‘aktiviti pertempuran’ tanpa mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pengetahuan Kabinet,” katanya dalam kenyataan.

“Ini mesti dipandang serius kerana keputusan semberono itu meletakkan nyawa askar kita dalam bahaya.”

Chang yang sebelum ini menganggotai jawatankuasa khas Parlimen bagi hal ehwal pertahanan dan dalam negeri, menggesa siasatan terhadap Ops Yaman 2, selain tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Sementara itu, beliau patut digugurkan daripada mengetuai Kementerian Pertahanan dan tidak dikaitkan isu pertahanan sehingga terbukti tidak bersalah dalam Ops Yaman 2 yang kontroversi itu.”

Hishammuddin sebelum ini mempertahankan tindakannya dengan menegaskan ia telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara ketika itu.

Chang turut menyuarakan “kekecewaan mendalam” terhadap barisan Kabinet yang diumumkan, terutama dengan menteri yang mempunyai “rekod prestasi buruk” yang tetap dilantik memegang jawatan sama.

Beliau memberi contoh Azmin Ali, Rina Harun dan Radzi Jidin yang dilihat gagal mengendalikan kementerian masing-masing ketika wabak serta dikritik sepanjang tempoh memegang jawatan mereka.

Sumber – FMT