Howard Lee buat laporan SPRM terhadap Najib berhubung penemuan PAC

Howard Lee buat laporan SPRM terhadap Najib berhubung penemuan PAC

Pemuda DAP membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tindakan susulan kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) mengenai Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) Dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) yang dibentangkan di Dewan rakyat semalam.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee, ketua Pemuda DAP bahagian Kuala Lumpur Lee Bing Hong dan Setiausaha Pemuda DAP Teh Hoong Keat membuat laporan petang ini meminta SPRM untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu dan mendakwa pihak yang melakukan kesalahan.

Mereka mendakwa dalam laporan mereka bahawa penemuan PAC telah mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh beberapa pihak.

Mereka meminta SPRM untuk menyiasat bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan, Najib Razak, yang telah memberikan persetujuan untuk rundingan langsung bagi projek yang terlibat tanpa alasan yang kuat pada 11 Jun 2015 atas permintaan Menteri Pengangkutan ketika itu, Liow Tiong Lai.

“Liow telah memohon kelulusan daripada Najib untuk pelantikan secara rundingan terus kepada TC Sens Sdn. Bhd., walaupun ahli parlimennya dalam MCA, Wee Jeck Seng, merupakan pemegang saham 25 peratus dalam TC Sens Sdn. Bhd,” kata mereka.

Mereka juga meminta SPRM untuk memeriksa peranan Wee dalam isu tersebut kerana laporan PAC menganggap terdapat pengaruh politik dalam lantikan berkenaan.

Semalam Pengerusi PAC Wong Kah Woh membentangkan laporan yang menyorot pengaruh politik dalam pemberian kontrak kepada TC Sens Sdn Bhd yang dilantik melalui rundingan langsung, bukan tender terbuka, dan melibatkan dua pihak berasingan dengan kos RM 149.45 juta.

Kontrak yang diberikan kepada TC Sens adalah Kontrak Perbelanjaan Modal (capex) berjumlah RM 45.15 juta dan Kontrak Perbelanjaan Operasional (opex) berjumlah RM104.30 juta.

Jawatankuasa itu mendapati bahawa tidak ada alasan yang kukuh untuk membenarkan projek-projek tersebut diberikan melalui rundingan langsung, kata Wong.

“Ahli Parlimen juga perlu menyatakan kepentingan perniagaan kepada kementerian yang bertanggungjawab jika perniagaan itu melibatkan projek kerajaan,” kata PAC dalam laporannya.

Laporan itu juga mengatakan bahawa pemilihan TC Sens Sdn Bhd yang diserahkan oleh Liow kepada Najib dilakukan tanpa penilaian menyeluruh berkaitan dengan kemampuan kewangan dan teknikal syarikat untuk melaksanakan projek sistem RC / VEP.

“Jawatankuasa ini juga mendapati wujudnya pengaruh politik dalam pelantikan kontraktor/vendor untuk projek sistem RC/VEP melalui rundingan terus,” kata Wong.

Jawatankuasa itu juga melaporkan terdapat kelemahan dalam pentadbiran dan pelaksanaan kontrak, iaitu penundaan 16 bulan dalam menandatangani kontrak kontrak sistem RC / VEP, pelantikan pihak ketiga dalam pelaksanaan sistem RC / VEP tanpa mendapat kelulusan Kementerian dan pengeluaran pembayaran awal.

Projek sistem RC / VEP lam diselesaikan, kata Wong, sambil menekankan bahawa peranan kontraktor sebagai vendor dan bukan penyedia penyelesaian yang berdaya saing telah menyebabkan kelewatan tersebut.

Sumber: Malaysiakini