Hubungan PN renggang, Peja rayu Umno terus bersama

Hubungan PN renggang, Peja rayu Umno terus bersama

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan semua pemimpin parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) supaya bersatu padu dalam memastikan kestabilan kerajaan.

Ahmad Faizal yang juga menteri besar Perak berkata kerajaan perlu mengutamakan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di samping memastikan sektor ekonomi dapat dibangunkan semula demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Ditanya mengenai pertimbangan Umno untuk menarik diri daripada menyokong PN, ahli parlimen Tambun itu berkata jika tindakan itu diambil, ia tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada parti itu dan ahli-ahli yang diwakilinya.

Pada 13 Okt, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan cadangan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno dan akan memberi syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Ahmad Faizal berkata setakat ini tiada perbincangan diadakan berhubung perkara itu oleh Bersatu berikutan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

“Apabila presiden tamat kuarantin dan memanggil mesyuarat, kami akan memberi pandangan dan membincangkan perkara ini bersama rakan-rakan (parti) lain terutama ke arah menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan usaha bersama melawan Covid-19,” katanya.

Pada majlis hari ini, Anugerah Utama, Anugerah Potensi Inovasi Negeri Perak 2020 dimenangi kumpulan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak yang menghasilkan alat khusus bagi mengatasi masalah penangkapan dan pelupusan anjing terbiar semasa wabak Rabies.

Penerima Anugerah Utama membawa pulang wang tunai, RM5,000 berserta trofi, manakala lima lagi projek yang menerima Anugerah Potensi Inovasi membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 berserta trofi.

Sementara itu di Alor Gajah, Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata rakyat kini sudah jemu dengan pertelingkahan politik berpanjangan yang dimainkan oleh pelbagai pihak di sebalik kesengsaraan mereka berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Hubungan yang ada ini (antara Umno, PAS dan Bersatu) kita jagalah baik-baik. Rakyat pun dah jijik dengan politik kerana semua perkara mahu dilibatkan dengan politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi di Alor Gajah hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada hubungan antara Umno, PAS dan Bersatu kini yang dilihat semakin rapuh berikutan terdapat dakwaan ada sebahagian daripada ahli Parlimen daripada Umno yang kini memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baru.

Selasa lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen dan sewajarnya dilantik selaku perdana menteri.

Bernama

COMMENTS