Hukum makan makanan diseludup tanpa bayar cukai, ini jawapan bekas menteri agama

Hukum makan makanan diseludup tanpa bayar cukai, ini jawapan bekas menteri agama

 

Hukum memakan makanan yang diseludup tanpa membayar cukai tidak haram selagi makanan itu adalah daripada yang halal.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun, cara ia diseludup itu adalah menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya juga berpendapat bahawa membayar cukai adalah wajib kerana ia termasuk dalam mentaati ulil amri.

“Apatah lagi pembayaran cukai itu pula salah satu daripada sumber pendapatan negara, yang mana ia juga akan digunakan bagi memenuhi keperluan maslahat negara dan rakyatnya.

“Hal ini bertepatan dengan kaedah iaitu polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.

“Justeru, sekiranya orang yang membeli itu tidak mengetahui bahawa makanan dijual itu adalah makanan diseludup, maka tidak menjadi kesalahan baginya untuk membeli dan memakannya,” katanya menerusi penerangan pada laman web Maktabah Al-Bakri, hari ini.