Hukum maki suami yang remukkan kereta, ini penjelasan Ustaz Wadi Annuar
Susulan isu pensohor media sosial yang juga anak pelakon senior, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli memaki hamun suaminya gara-gara meremukkan keretanya, pendakwah bebas Ustaz Wadi Annuar tampil menegur wanita itu.
Wadi menerusi satu muat naik video dalam media sosial, mengucap panjang seraya menitipkan pesanan buat ramai wanita di luar sana apabila mengetahui tentang situasi tersebut.
“Dia maki hamun suaminya. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
“Puluhan ribu orang tahu dia makin hamun, sebab dia rakam waktu dia maki hamun suami dia itu,” katanya dalam video terbabit.
Wadi atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub menegaskan, seorang wanita berstatus isteri itu tidak cium bau syurga sekiranya berbuat demikian terhadap suaminya.
“Reda seorang isteri itu pada tangan seorang suami. Sepertimana reda seorang anak pada tangan seorang ibu.
“Kalau tak sempat taubat dan diampunkan Allah SWT, maka nerakalah tempat seseorang itu. Wal iyadzubillаh dengan dosa tersebut,” getusnya.
Terdahulu, Kak KM yang merupakan anak kepada drama terkenal, Normah Damanhuri mencetuskan kontroversi dalam media sosial apabila memarahi dan memaki hamun suaminya, Razman Ramli dengan perkataan tidak senonoh.
Wanita itu meluahkan rasa bengang terhadap suaminya iaitu kerana enggan memohon maaf selepas menyebabkan kereta miliknya jenama Toyota Alphard mengalami remuk teruk akibat terlanggar tembok rumah.