Hukum Tok Imam basuh RXZ guna air masjid, ini jawapan UAI
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan ‘harta’ yang ada di masjid atau surau untuk kegunaan peribadi kerana hukumnya haram.
Ini kerana kata penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, semua barangan masjid hanya untuk kegunaan sewaktu di masjid dan tidak boleh dibawa pulang atau untuk kegunaan diri sendiri.
Menjelaskan perkara itu, Azhar berkata, harta yang diwakafkan di masjid hanya boleh digunakan di kawasan terbabit sahaja dan tiada pihak berhak menggunakannya sesuka hati termasuklah ahli jawatankuasa masjid itu sendiri.
“Tok imam basuh RX-Z di masjid, tok siak basuh Vespa, tok bilal bawa balik mangkuk pinggang ke rumah, pengerusi masjid ambil karpet bawa balik nikah anak di rumah.
“Semua ini haram, jangan marah sebab apa saya bagitahu ini hukum. Kalau nak bernikah, nak pakai karpet, beli di kedailah, ataupun buat majlis tersebut di masjid barulah boleh guna karpet masjid,” katanya dalam satu sesi kuliah baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, selain itu menyalah gunakan harta masjid juga boleh dijatuhkan hukum haram.
Sebagai contoh, guna air paip di masjid untuk mandi bagi mengelakkan membayar bil di rumah sedangkan air masjid adalah kegunaan hanya di masjid.
Ada orang rumah dekat masjid, mandi dan buang air kecil atau besar pun di masjid, hukumnya haram.
“Begitu juga menggunakan air daripada penapis air untuk ambil wuduk, ia juga haram kerana ia (penapis) tersebut diwakafkan untuk diminum, bukannya untuk mengambil wuduk,” katanya.