Hukuman lebih berat pada mereka yang langgar SOP, kata Ismail Sabri

Hukuman lebih berat pada mereka yang langgar SOP, kata Ismail Sabri

Polis akan mengambil tindakan tegas dan tidak lagi berkompromi dengan mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan Covid-19 sekiranya jumlah jangkitan terus meningkat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi lagi, kalau kita melihat kes meningkat,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke sekatan jalan di Gombak, petang ini.

Jelasnya, kerajaan boleh meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan denda kompaun terhadap pelanggar SOP, terutama terhadap majikan.

“Tunggulah. Saya tak boleh komen lagi, kerana apa bentuk hukuman tu kita akan umumkan kemudian.

“Mungkin Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sendiri akan umum ataupun Kementerian Kesihatan akan umum.

“Kita tak tau, kita tunggu lagi sebab ini melibatkan ordinan darurat, pindaan kepada Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerana Akta 342 sekarang ini hukumannya terlalu rendah,” kata Ismail.

Semalam, ketua polis negara berkata sudah sampai masa untuk menaikkan denda RM1,000 yang dikenakan ke atas pelanggar SOP berikutan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara. – MK