Husam Musa diumum sebagai pengerusi SPNB yang baharu

Husam Musa diumum sebagai pengerusi SPNB yang baharu

 

Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) memaklumkan pelantikan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi SPNB yang baharu berkuat kuasa 22 Mac 2023 menggantikan Datuk Mohd Nizar Zakaria.

SPNB dalam satu kenyataan berkata, Husam memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan mengikuti kursus Bahasa Arab di Jordan pada tahun 1987.

Ia berkata, beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan Darul Naim pada tahun 2004 hingga 2008 serta Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan Darul Naim pada tahun 2008 hingga 2013 (Exco Kerajaan Negeri Kelantan).

Selain itu, SPNB berkata, Husam juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Kemubu Agriculture Development Authority (KADA) dan juga sebagai Pengerusi Anak Syarikat Kerajaan Negeri Kelantan seperti Kifalah Sdn Bhd.

“Kami mengalu-alukan pelantikan Pengerusi baharu SPNB dalam barisan kepimpinan syarikat dan berharap dengan pengalaman luas serta kepimpinan beliau, SPNB akan terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan,” katanya.