Ibarat pelanduk lupakan jerat, bekas pegawai kanan polis Bukit Aman didakwa langgar SOP Aidilfitri

Ibarat pelanduk lupakan jerat, bekas pegawai kanan polis Bukit Aman didakwa langgar SOP Aidilfitri

Polis sedang menyiasat gambar dimuat naik seorang bekas pegawai kanan Bukit Aman didakwa melanggar SOP Aidilfitri dengan mengadakan jamuan hari raya yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib, berkata satu laporan polis diterima berhubung insiden itu.

Katanya, bekas pegawai kanan polis itu bersara pada 2007 dengan jawatan terakhirnya ialah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Jika sabit kesalahan, kompaun RM10,000 boleh dikenakan ke atas pemilik rumah dan RM2,000 ke atas pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, bekas pegawai kanan polis itu berkongsi gambar menunjukkan ahli keluarganya dan beberapa anggota peronda menikmati jamuan raya yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Susulan perkongsian itu, pemeriksaan dilakukan polis kerana terdapat enam kereta di luar rumahnya yang menunjukkan kehadiran tetamu.

Antara catatan dimuat naik bekas pegawai kanan polis itu ialah “Pasukan peronda Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam yang menyelia dan memantau SOP menjenguk (memantau) rumah kami untuk membuat pemeriksaan. Mereka dapati anak-anak yang tinggal dalam daerah ini juga balik dari semalam lagi.

“Terlanjur sudah sampai (pasukan peronda polis), saya pelawa makan lemang dan ketupat. Terima kasih kerana sudi menyantuni saya. Pegawai dan anggota polis pun manusia biasa juga yang ada perasaan, yang ada pertimbangan,” tulisnya.

Baharuddin berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera.

Selain tular di Facebook, katanya, perkongsian bekas pegawai kanan polis itu turut tersebar di Twitter.

Selepas gambar itu tular, bekas pegawai kanan polis terbabit didapati memadamkan hantaran berkenaan.

Dalam hantaran terkini di Facebooknya, lelaki itu berkata, beliau memaafkan semua pihak yang menularkan hantaran berkenaan dan mendakwa mereka tidak mengetahui cerita sebenar.

“Saya diambil tindakan…kerana memberi jamuan kepada pasukan polis yang memeriksa rumah…walaupun tak ada orang luar…kecuali anggota polis yang memeriksa…tetapi saya minta mereka hormati hari baik bulan baik…dengan menjamah sedikit makanan yang terhidang…saya diambil tindakan melanggar SOP…saya redho,” tulisnya. – FMT