Ibu dan anak ditemui mati dalam keadaan tergantung di rumah

Ibu dan anak ditemui mati dalam keadaan tergantung di rumah

Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditemui mati semalam di dalam sebuah rumah di Rawang, Selangor.

Memetik laporan portal FMT, wanita tersebut, 71, dan anaknya, 35, kedua-duanya warga tempatan, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, tergantung di dalam rumah terbabit yang terletak di Kampung Baru Kundang, kata Ketua Polis Gombak Zainal Mohamed Mohamed.

Zainal berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.17 pagi dan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut hadir di lokasi kejadian untuk membantu siasatan, katanya.

“Tiada sebarang kesan umpil dan pecah masuk. Barang-barang peribadi milik kedua-dua mereka seperti wang tunai dan telefon bimbit berada di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Bernama.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperolehi,” kata Zainal.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut diminta menghubungi Ketua Balai Polis Kundang Sarjan Mejar Wan Azhar Wan Ariffin di talian 03-60341222 atau 019-9997233.