Ibu dan bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

Ibu dan bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

 

 Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, ibu bapa Zayn masing-masing boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari 5 Dis 2023 hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Syahliza kemudian membenarkan pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga diarahkan melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Hakim juga mengeluarkan arahan melarang kedua-dua tertuduh daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan kes itu.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim dan Ismanira.

Zayn yang berusia enam tahun dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Dis tahun lalu sebelum ditemukan meninggal dunia keesokannya.

Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri.