Ibu kandung & ‘tomboi’ warga Singapura mengaku tidak bersalah aniaya budak 7 tahun, menangis teresak-esak di mahkamah

Ibu kandung & ‘tomboi’ warga Singapura mengaku tidak bersalah aniaya budak 7 tahun, menangis teresak-esak di mahkamah

 

Terdahulu, kecoh diperkatakan mengenai kes dera melibatkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun di Pasir Gudang, Johor selepas tularnya video jiran tetangga menyerbu rumah mangsa.

Susulan itu, pihak polis telah menahan ibu kandung mangsa dan juga rakan perempuannya yang berperwatakan lelaki untuk siasatan lanjut.

Pengkid, ibu kandung mengaku tak bersalah

Hari ini, suspek yang berusia 27 tahun bersama teman serumahnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak berusia 7 tahun itu, lapor Berita Harian.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir (ibu kandung mangsa) dan warganegara Singapura, Awiin Chua, 30 telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Nurul Asyiqin telah dituduh mendera anak lelaki yang berada di bawah penjagaannya hingga menyebabkan kecederaan teruk di rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lepas.

51691912678 Tbmangsadera

Dia juga telah dituduh mengabaikan anaknya di tempat dan waktu yang sama.

Manakala Chua pula, seorang juruteknik di Singapura juga dikenakan dua pertuduhan yang sama.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bawa anak lari daripada jagaan datuk dan nenek

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir telah menawarkan jaminan yang tinggi sebanyak RM30,000 terhadap setiap tertuduh dengan beberapa syarat tambah termasuk larangan menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

Kedua-dua suspek juga kelihatan sugul dengan rakan serumah ibu kandung dilihat menangis teresak-esak ketika berada di pekarangan mahkamah.

“Tertuduh pertama (Nurul Asyiqin) adalah ibu kandung kepada mangsa yang mana dia telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa lari ke negeri ini, tetapi dalam penjagaannya dia gagal menjaga anaknya sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua (Awiin) pula yang juga seorang warga Singapura tinggal serumah dengan tertuduh pertama yang mana walaupun tiada talian darah, tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa ketika di rumah.

“Kanak-kanak itu kini di hospital dan dijaga bapa saudaranya sementara menunggu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memutuskan hak penjagaan mangsa,” kata Nur Diyana.

Pun begitu, mahkamah membenarkan Nurul Asyiqin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki, itu dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Antara syarat tambahan yang ditetapkan iaitu kedua-dua tertuduh perlu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tak mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

Semoga mangsa mendapat keadilan yang sewajarnya.