Ibu Neelofa sekolahkan netizen isu Ameera Khan taruh kuda

Ibu Neelofa sekolahkan netizen isu Ameera Khan taruh kuda

 

Ibu kepada personaliti media sosial sensasi Ameera Khan meluahkan rasa kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menuduhnya anak perempuannya itu terlibat dalam aktiviti tidak bermoral berkaitan judi.

Datin Noor Kartini Mohamed berkata, tuduhan mendakwa Ameera terlibat dalam aktiviti perjudian perlawanan kuda seperti yang ditularkan di media sosial adalah fitnah.

Malah Noor Kartini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai biadab selain berpesan kepada pihak berkenaan menggunakan cara halal dalam mencari rezeki.

“Ini sangat biadab. Nak berniaga biarlah rezeki yang halal.

“Bukan sanggup fitnah macam ini,” katanya.

Ibu kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu meluahkan kekesalan itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Isnin.

Noor Kartini turut memuat naik paparan skrin hantaran di Facebook yang menyiarkan foto serta kapsyen persoalan sama ada keluarga Ameera tidak menegurnya yang dikatakan terlibat dengan perjudian.

Sebelum ini, nama Ameera kembali tular apabila memuat naik foto menghadiri sebuah acara lumba kuda di sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Susulan itu, ramai melemparkan kata-kata negatif ekoran Ameera ada memuat naik fotonya sedang memegang tiket dengan kapsyen meletakkan pertaruhan.