Identiti rider terbabit nahas pesawat terhempas dikenal pasti – “Abang kata mahu pulang 20 Ogos ini”

Penunggang motosikal yang terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Elmina telah dikenalpasti sebagai Muhamad Hafiz Muhammad Salleh, 32, berasal dari Sidam, Kedah.
Sepupu mangsa, Nurul Nazihah berkata, dia tidak menyangka Muhamad Hafiz bekerja sebagai penghantar makanan di ibu kota, terbabit dalam kejadian itu.
“Jam 4 petang, saya ada tonton video nahas pesawat terhempas. Saya tengok video rider terbakar, memang sedih. Saya kata pada diri, kenapalah dia lalu semasa kejadian. Kasihan tengok mangsa terbakar atas jalan.
“Selepas maghrib, baru tahu mangsa adalah sepupu saya. Polis datang ke rumah ibunya, sampai sekarang saya tak berani nak call ibunya. Takut dia tak boleh nak bercakap,” katanya memetik laporan daripada mStar Online.

Difahamkan, Muhamad Hafiz adalah anak sulung daripada lima beradik dan sepatutnya pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri kahwin adiknya pada 26 Ogos.
Adik mangsa, Norhikmah Muhammad Salleh, 26, terdahulu dilaporkan meminta bantuan rakan-rakan abangnya untuk membuat pengecaman mayat, sementara dia bersama keluarga dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor.
Menurut Norhikmah, dia dan keluarga hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa. Mereka terkejut tetapi reda dengan ketentuan Ilahi.
“Ibu dan ayah pesan supaya kami reda dengan pemergian abang, minta kami semua doakan supaya urusan beliau dipermudahkan.
“Jenazah abang akan dibawa pulang dan dikebumikan di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, sejurus selesai semua prosedur,” katanya memetik laporan dari Berita Harian.


Sementara itu, pihak berkuasa sedang mengenalpasti seorang lagi orang awam yang menjadi mangsa dalam nahas tersebut. Mangsa dipercayai pemandu e-hailing (Grab) yang kebetulan melalui lokasi kejadian.