Idris enggan siasat kes hakim berbogel, serah kepada polis

Idris enggan siasat kes hakim berbogel, serah kepada polis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad enggan terperangkap dengan gesaan yang dilakukan oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) untuk campur tangan dalam isu tular melibatkan Ketua Hakim Syarie baru-baru ini.

Dalam kenyataannya yang dilaporkan oleh portal akhbar FMT semalam, dia berkata pihaknya tidak sama sekali akan mencampuri bidang kuasa pihak polis dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kerajaan, tambahbya lagi akan menyerahkan kepada polis sepenuhnya untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual melibatkan pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Semua pihak diminta akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci. Ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terkait dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan juga perlu dihentikan.

Kenyataannya itu selepas Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa supaya beliau memandang serius perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi kehakiman syariah susulan dakwaan terhadap hakim kanan terbabit.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam, memuat naik video mendakwa seorang hakim kanan itu terbabit dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Hakim terlibat bagaimanapun kemudian menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada Lokman selain turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bagi menggesa siasatan dilakukan.