Idris mahu UMNO, Bersatu utamakan kemenangan PRU-15

Idris mahu UMNO, Bersatu utamakan kemenangan PRU-15

Pas kekal dengan pendirian untuk menjadi penyatu kepada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, parti itu menolak sebarang muafakat berpecah sekali gus teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di samping mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Pas mahu jadi penyatu kepada dua pihak kerana kalau berlaku perpecahan, Pakatan Harapan (PH) akan memerintah semula.

“Oleh sebab itu Pas berharap UMNO-Bersatu dapat bersama kerana kita yakin dan percaya apabila sesebuah pakatan kuat maka keadilan dapat dinikmati oleh orang Melayu-Islam di samping bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli : Musa’adah Madrasah di Madrasah Al-Ansar di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiga-tiga parti utama dalam kerajaan hari ini iaitu UMNO, Bersatu dan Pas perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan termasuk dalam hal pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15.

Sumber – UTUSAN ONLINE