Idris, Zailah tenang berdepan serangan netizen selepas aksi separuh bogel artis Melayu Islam tular

Idris, Zailah tenang berdepan serangan netizen selepas aksi separuh bogel artis Melayu Islam tular

Pengguna media sosial hari ini membidas sikap berdiam diri Menteri Agama dan Timbalan Menteri Wanita daripada Pas selepas tertularnya aksi separuh bogel sebuah artis berkumpulan yang turut dianggotai gadis Melayu Islam di dalam satu konsert baru-baru ini.

Dalam klip video yang dikongsi di media sosial semalam, kumpulan remaja wanita yang dikenali sebagai kumpulan Dolla dilihat hanya mengenakan pakaian dalam ketika membuat persembahan di konsert Good Vibes Weekenderyang berlangsung di Surf Beach @Sunway Lagoon pada 23-24 September lepas.

.Namun, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut selepas tiada respon dikeluarkan baik dari pihak Idris Ahmad mahupun Siti Zailah dalam menyentuh isu tersebut.

Umum mengetahui kedua-dua mereka merupakan antara yang lantang menyerang kerajaan PH sebagai pembangkang ketika itu, terutamanya berkaitan portfolio Menteri Agama yamg dijawat seteru politik mereka, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Malah, Siti Zailah dalam satu petikan klip popular penyokongnya sewaktu berbahas di parlimen satu masa dahulu dengan penuh semangat beriltizam untuk ‘mengislamkan’ pakaian para pramugari syarikat penerbangan yang dikatakan begitu seksi olehnya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, anggota Dolla iaitu Sabronzo mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada memberikan sebarang komen berhubung isu penampilan seksi mereka ketika membuat persembahan di Good Vibes Weekender, baru-baru ini.

Menurut Sabronzo atau Sab, dia menghormati keputusan syarikat pengurusan mereka yang mahu mengeluarkan kenyataan secara rasmi daripada pihak mereka sendiri.

“Saya terpaksa mengunci mulut kerana pihak pengurusan Universal tidak benarkan kami keluarkan kenyataan lagi sebab nanti mereka akan beri kenyataan rasmi.

“Sebagai artis yang bernaung di bawah pengurusan mereka, saya kena hormat keputusan pihak pengurusan yang tidak benarkan untuk saya beri kenyataan. Lagipun, kami hanya artis dan pihak pengurusan yang buat segala keputusan.

“Sebagai artis, kami hanya ikut saja. Sebab tugas kami hanya untuk buat persembahan dan menyanyi… itu saja,” kata Sabronzo.

Sabronzo ditemui ketika pratonton RR Bridal RTW 22 yang diadakan di ShangriLa Hotel Boutique, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, imej seksi ahli kumpulan Dolla iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya di acara hiburan tersebut mengundang kecaman netizen.

Malah ada juga membandingkan pakaian Dolla dengan penyanyi dari Korea Selatan yang merupakan ahli kumpulan 2NE1, Lee Chae-rin atau CL yang turut hadir di lokasi yang sama.