Ikrar taat setia Hadi Awang, Muhyiddin bakal menerima nasib seperti Tun M sekiranya yakin dengan sokongan Pas

Ikrar taat setia Hadi Awang, Muhyiddin bakal menerima nasib seperti Tun M sekiranya yakin dengan sokongan Pas

Pas mengisytiharkan untuk terus beristiqamah untuk menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia disebabkan Pas terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

Katanya, setelah membentuk kerajaan PN mengikut lunas demokrasi, Pas yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal disebabkan parti itu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Secara khusus, Pas memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana Covid-19 yang sebegini rupa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Abdul Hadi turut berkongsi peristiwa di mana Rasulullah SAW membandingkan kumpulan itu dengan mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera.

Katanya, kumpulan itu ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh mahu mendapatkan air buat mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera.

Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat, kata beliau.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan supaya bertindak dengan tegas tanpa perasaan was-was, kerana was-was itu datangnya daripada syaitan.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/06/09/pas-istiqamah-sokong-muhyiddin-hadi/