Import minyak sawit : Firma besar juga bakal hadapi sekatan kata Menteri

Import minyak sawit : Firma besar juga bakal hadapi sekatan kata Menteri

Susulan sekatan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) terhadap import minyak sawit dari FGV Holdings Bhd dari Malaysia, Sime Darby Plantation Berhad kini “bimbang” bahawa syarikat mereka akan menerima nasib sama.

Semalam, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu media bahawa “firma besar lain” akan berdepan sekatan serupa dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sime Darby mendakwa bahawa cubaan sebelum ini untuk berunding dengan CBP tidak berhasil.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Sime Darby merupakan subjek petisyen yang diajukan oleh Liberty Shared dengan CBP pada 20 April seperti yang banyak dilaporkan di media.

“Walaupun kami berusaha untuk berunding dengan CBP, kami tidak mendapat kesempatan untuk memberikan penjelasan dan Sime Darby juga tidak diberikan perincian mengenai tuduhan oleh Liberty Shared,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya berharap dapat memperoleh perincian tuduhan itu.

“Tindakan yang mungkin akan diambil oleh CBP adalah satu kebimbangan terhadap Sime Darby kerana kami melihat AS sebagai pasaran pertumbuhan penting untuk produk kami, walaupun nilai tahunan eksport kami ke AS pada masa ini adalah pada jumlah sederhana sekitar ASD5 juta,” katanya.

Liberty Shared, sebuah NGO antipemerdagangan manusia yang berpusat di Hong Kong, sebelumnya mengajukan petisyen kepada CBP untuk menyekat produk minyak sawit Sime Darby atas dakwaan penglibatan pekerja secara paksa dan mengupah kanak-kanak sebagai pekerja.

Dalam kenyataan hari ini, Sime Darby menekankan bahawa pihaknya telah secara terbuka menanggapi tuduhan Liberty Shared dengan berhubung NGO berkaitan bagi menangani sebarang isu.

“Respons kami menggariskan komitmen serius kami untuk menegakkan hak asasi manusia dan hasrat untuk memperbaiki segala kekurangan dalam operasi dan rantaian bekalan kami.

“Ia juga ditunjukkan pada rencana kami, setelah kami hubungi Liberty Shared, untuk melakukan tinjauan bebas terhadap tadbir urus, prosedur dan praktik kami yang berkaitan dengan bidang yang menjadi pertikaian, perinciannya akan diumumkan pada waktunya,” jelasnya.

Merupakan cabang dari konglomerat Sime Darby, pemegang saham majoriti Sime Darby Plantation adalah Permodalan Nasional Bhd (PNB) kerajaan.

Kerajaan juga merupakan pemegang saham terbesar di FGV Holdings.

Sumber : Malaysiakini