Individu terima dos penggalak sumbang kes harian tertinggi Covid-19 di Malaysia

Individu terima dos penggalak sumbang kes harian tertinggi Covid-19 di Malaysia

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 21 Jun 2022) turun sedikit kepada 1,921 kes, berbanding 2,093 yang dicatat pada Isnin.

Jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 sebanyak 4,544,626 kes, dengan 4,482,734 pesakit telah sembuh, termasuk 1,716 yang pulih semalam.

Menurut rekod sejak Februari lalu jumlah individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19 didapati lebih tinggi berbanding dengan yang menerima dua dos dan mereka yang tidak mengambil vaksinasi.

Semalam sahaja, daripada jumlah jangkitan baharu itu, 1,420 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19; penerima dua dos (339 kes); individu tidak divaksinasi (141 kes); dan penerima belum lengkap vaksinasi (21 kes).

Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan sehingga semalam sebanyak 26,155 kes Covid-19 masih aktif, meningkat daripada 25,952 kes yang direkodkan pada Isnin.

Pesakit yang masih menjalani kuarantin di rumah juga naik semula kepada 25,059 kes berbanding 24,929 pada Isnin, manakala jumlah yang ditempatkan di PKRC kekal dengan 15 pesakit.

Sementara itu, jumlah individu yang menerima rawatan di hospital akibat Covid-19 sehingga semalam naik 985 pesakit pada Isnin kepada 1,052 semalam.

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi juga turut meningkat kepada 29 individu berbanding 23 pada Isnin, dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berikut adalah pecahan kes harian semalam serta kumulatif positif sejak 2020 mengikut negeri:

Sementara itu, KKM turut memaklumkan dua pesakit meninggal dunia di fasiliti kesihatan akibat komplikasi Covid-19 semalam.

Kes kematian itu masing-masing dilaporkan di Johor dan Selangor.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,737 kes, termasuk 7,579 kematian di luar fasiliti kesihatan atau dikategorikan sebagai ‘brought in death’.