Ingin miliki Perodua Alza 2022 walaupun bergaji RM1500, cuba amalkan tips ini

Ingin miliki Perodua Alza 2022 walaupun bergaji RM1500, cuba amalkan tips ini

Sering kali kita mendengar ungkapan ukur baju di badan sendiri yang bermaksud jika mahu melakukan sesuatu atau berbelanja lihatlah pada kemampuan sendiri.

Tidak dinafikan kita semua mempunyai impian tersendiri sebagai contoh rumah yang macam mana hendak diduduki, barangan apa yang hendak dipakai seperti baju, bag dan juga kereta.

Namun, memasang angan-angan memang tidak salah tapi ia tidak perlu diikutkan sehingga menyiksa diri sendiri.

Minta tips untuk ikat perut

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila terdapat seorang individu yang memuat naik satu hantaran di Facebook untuk meminta tips bagaimana hendak mengikat perut untuk berjimat.

Menerusi hantaran tersebut, individu itu memaklumkan bahawa dia yang bergaji sebanyak RM1500 baru sahaja lulus dalam mendapatkan pinjaman bagi membeli sebuah Perodua Alza baharu.

RM900 bulanan untuk kereta Alza baru perlu dibayar setiap bulan

Namun apa yang mengejutkan ialah jumlah ansuran bayar balik pinjaman yang dilihat agak tinggi iaitu RM900 jika ingin dibandingkan dengan gaji bulanannya.

Oleh itu, dia bertanya kepada orang ramai apakah tips yang boleh dilakukan untuk dirinya berjimat cermat dengan mengikat perut agar dapat membayar komitmen bulanan untuk kenderaan tersebut.