Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pihaknya telah melakukan serbuan ke atas premis berkenaan sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Menurut beliau, kesemua individu terbabit didapati melakukan kesalahan kerana berkumpul dan tidak menjaga jarak fizikal antara satu sama lain serta mengadakan aktiviti yang tidak dibenarkan dibawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempat-Tempat Jangkitan) (No.3) 2021.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat enam lelaki warga tempatan dan enam lelaki warga asing yang berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan didapati mempunyai dokumen pengenalan diri dan mereka merupakan kakitangan di syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati premis berkenaan merupakan pejabat bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo atas tiga buah syarikat berlainan milik warga tempatan.

Tambah beliau, pemilik syarikat tersebut dikompaun RM10,000 dan RM1,500 manakala enam individu warga tempatan masing-masing dikompaun RM1,500.

“Manakala kesemua warga asing itu ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya. Dalam pada itu, Mohamad Farouk turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melanggar SOP PKP yang dikuatkuasakan dalam usaha memutuskan rantaian penyakit Covid-19.

Sumber : Malaysia Gazette