Ini 10 cara mudah jimat elektrik ketika cuaca panas, barulah ‘sejuk’ tengok bil
PENGGUNAAN barangan elektrik di setiap kediaman sudah menjadi keperluan pada masa kini.
Walaupun kelengkapan rumah memudahkan kerja dan menjimatkan masa, namun penggunaan secara kerap dan berlebihan akan menyebabkan bil elektrik melambung tinggi, sekali gus menjejaskan perbelanjaan bulanan.
Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi, pastinya banyak penggunaan elektrik, dan pada masa sama pembaziran juga boleh berlaku.
Apatah lagi dengan cuaca panas yang tidak menentu menjadi punca utama kelengkapan rumah seperti penyaman udara, penapis air dan pam air elektrik digunakan secara berlebihan.
Jangan risau kerana ada cara mudah untuk anda menjimatkan penggunaan elektrik di rumah.
1. Penyaman udara (aircond)
Suhu yang ditetapkan pada 16 darjah Celcius, iaitu suhu paling rendah untuk penyaman udara, menyebabkan ‘compressor’ terpaksa bekerja dengan lebih kerap.
Jadi, tetapkan suhu pada alat kawalan jauh pada 24 darjah Celcius ke atas yang merupakan suhu selesa untuk sebuah bilik.
Selain itu, menutup pintu dan tingkap ketika menggunakan penyaman udara dapat membantu menyejukkan bilik dengan lebih cepat.
Anda juga boleh menetapkan ‘timer’ atau ‘sleep mode’ sebelum tidur bagi memastikan penyaman udara akan berfungsi dalam tempoh tertentu kerana ketika itu suhu bilik pun sudah sejuk.
2. Ketuhar gelombang mikro
Gunakan kaedah dengan membiarkan bahan mentah di luar pada suhu bilik melebihi empat jam untuk dinyahbeku (defrost) secara semula jadi.
Kemudian, barulah anda boleh gunakan fungsi defrost dalam ketuhar dalam tempoh lebih singkat yang hanya memakan masa beberapa minit.
3. Lipat kain jemuran
Melipat pakaian sejurus diambil daripada jemuran boleh mengelakkan daripada adanya kedutan pada pakaian.
Ini boleh mengelakkan anda daripada berlaku pembaziran elektrik untuk menghilangkan kedutan dengan menggosok kain menggunakan seterika.
4. Pemanas air
Mandi menggunakan air sejuk adalah pilihan lebih baik berbanding air panas terutamanya untuk kulit dan rambut.
Jadi, penggunaan air sejuk bukan sahaja dapat menjimatkan elektrik malah memberikan manfaat kepada kesihatan anda.
5. Kipas angin
Terdapat satu kaedah mudah boleh dilakukan untuk menyejukkan kediaman dengan menggunakan kipas berbanding penyaman udara ketika berada di rumah.
Anda boleh membuang bahang atau haba begitu mudah dengan meletakkan kipas berdiri menghadap keluar di hadapan pintu rumah.
6. Label alatan elektrik
Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik baharu, dinasihatkan untuk melihat label pada barang yang ingin dibeli.
Pastikan anda memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) mengikut bilangan skor bintang.
7. Baldi berisi air
Terdapat cara paling mudah untuk sejukkan suhu ruang kediaman tanpa menggunakan sebarang peralatan elektrik.
Sediakan bekas atau baldi bersaiz besar dengan memasukkan air paip lalu diletakkan pada mana-mana ruangan bilik yang ingin disejukkan.
8. Peti sejuk
Tanpa kita sedari, peti sejuk merupakan antara penyumbang kepada peningkatan bil elektrik setiap bulan.
Jadi penjimatan elektrik juga dapat dilakukan dengan mengelakkan daripada membuka pintu peti sejuk secara kerap dan untuk tempoh yang lama.
9. Tanaman hiasan
Kawasan hijau lebih sejuk berbanding ruang lapang tanpa sebatang pokok. Oleh itu, hiaskan rumah dengan tumbuhan semula jadi seperti pokok dan bunga.
Selain membantu menapis udara, ruang rumah anda akan lebih nyaman dan selesa dengan adanya tanaman hiasan yang boleh menyerap haba.
10. Lampu LED
Tukar mentol lampu LED yang menggunakan foton (photon) untuk menghasilkan cahaya adalah lebih baik berbanding mentol pijar.
Ia membuatkan lampu LED menjadi empat hingga lima kali lebih cekap tenaga dan dianggarkan 25 hingga 30 peratus penggunaan elektrik dapat dikurangkan.
Kesemua tip bukan sahaja mudah, tapi percayalah ia membantu anda mengurangkan penggunaan elektrik pada kadar lebih optimum. Barulah ‘sejuk’ tengok bil elektrik setiap bulan!
Anda juga perlu mengetahui setiap perincian dan fungsi sesuatu peralatan atau barangan yang dibeli supaya dapat mengurangkan lagi kos bil elektrik bulanan apabila menggunakannya.
Paling penting dan juga cara yang paling asas adalah tutup semua suis dan peralatan elektrik yang tidak digunakan ketika hendak meninggalkan rumah terutamanya dalam tempoh lama seperti balik kampung atau pergi bercuti semasa musim perayaan.
Selain itu, anda boleh membandingkan penggunaan elektrik setiap bulan dengan memuat turun aplikasi rasmi TNB menerusi telefon pintar. Maklumat lanjut mengenai penjimatan tenaga elektrik, layari laman web TNB.