Ini 10 negara dunia yang telah ketatkan saringan terhadap ketibaan pelancong dari negara China

Ini 10 negara dunia yang telah ketatkan saringan terhadap ketibaan pelancong dari negara China

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mula mengetatkan peraturan terhadap pelancong dari China berikutan lonjakan kes jangkitan Covid-19 selepas negara itu melonggarkan dasar sifar Covid-19.

Lebih membimbangkan adalah kemungkinan muncul varian baharu, selain kekurangan maklumat tepat dari China dengan Beijing terus ‘menyembunyikan’ data sebenar kes jangkitan di negara itu, lapor Al-Jazeera.

Berikut negara yang mengenakan sekatan seperti disiar Harian Metro :

1. Amerika Syarikat (AS)

Mulai 5 Januari ini, AS akan mengenakan ujian saringan Covid-19 mandatori kepada pelancong dari China. Semua penumpang berusia dua tahun ke atas wajib menjalani ujian dua hari sebelum berlepas dari China, Hong Kong atau Macau.

AS juga sedang mempertimbangkan pensampelan air kumbahan dari pesawat antarabangsa bagi mengesan varian baharu selain menjalankan penjujukan genomik di lapangan terbang.

2. Korea Selatan

Pelancong dari China dikehendaki memberikan keputusan negatif ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) dalam tempoh 48 jam selepas berlepas, atau ujian antigen pantas dalam tempoh 24 jam diikuti ujian PCR selepas ketibaan. Ia berkuat kuasa 2 Januari.

3. Jepun

Pelancong dari China perlu menjalani ujian Covid-19 semasa ketibaan. Mereka yang positif akan dikuarantin selama tujuh hari di fasiliti ditetapkan dan sampel mereka akan digunakan untuk analisis genom.

Penerbangan terus antara China dan Jepun akan dihadkan kepada empat lapangan terbang utama buat masa ini.

4. Malaysia

Langkah sama diambil Malaysia yang mengenakan ujian saringan kepada semua pelancong tiba dari China dan menguji air kumbahan dari pesawat.

5. Taiwan

Semua penumpang yang tiba dengan penerbangan terus dari China atau dengan bot, perlu mengambil ujian PCR semasa ketibaan, mulai 1 Januari.

6. India

Pelancong tiba dari China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand perlu menunjukkan laporan ujian negatif Covid-19 dan memuat naik keputusan ujian mereka di laman web kerajaan India, sebelum berlepas ke negara itu.

India sudah mula menguji secara rawak dua peratus daripada semua penumpang antarabangsa yang tiba di lapangan terbang.

7. Itali

Itali menjadi negara pertama di Eropah yang menjalankan ujian saringan Covid-19 dan penjujukan virus untuk semua pelancong dari China. Lapangan terbang utama di Milan dan Rom sudah mula melaksanakan ujian saringan terhadap penumpang yang tiba dari Beijing dan Shanghai.

8. Sepanyol

Sepanyol pada Jumaat membuat keputusan mengarahkan pelancong dari China menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 dan sijil lengkap vaksinasi.

9. Perancis

Kerajaan Perancis juga mengambil langkah sama yang memerlukan pelancong dari China menunjukkan keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

10. United Kingdom

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan penumpang dari China akan memerlukan ujian negatif susulan peningkatan jangkitan di China.