Ini 5 filem tempatan paling sendu & gagal di pawagam, tak sangka filem lakonan Kazar pun tersenarai

Ini 5 filem tempatan paling sendu & gagal di pawagam, tak sangka filem lakonan Kazar pun tersenarai

Ketika beberapa filem berjaya meraih kutipan cemerlang dalam tayangannya, kali ini kami meyenaraikan 5 filem tempatan paling gagal dan sendu selepas ditayangkan di pawagam.

Antaranya termasuklah filem yang dibintangi pelakon senior seperti Kazar dan Sharifah Shahirah, yang hanya mengutip tidak sampai RM10,000 dalam naskhah berjudul No.9.

Kami kongsikan 5 filem tersebut berdasarkan laporan Kosmo!

1 Bella & Jamie

Merupakan karya arahan Fairul Nizam Ablah dan Ghaz Abu Bakar, Bella & Jamie mengisahkan persahabatan dua gadis iaitu Bella dan Jamie yang menjadi semakin akrab selepas mendapat tahu ibu dan bapa mereka merancang untuk berkahwin.

Meskipun dikatakan fresh dan sarat plot twist, malangnya filem berkenaan sekadar di pinggiran dan dilabel filem ‘tak laku’ apabila hanya meraih kutipan panggung sebanyak RM9,186.50 berbanding kos produksi RM600,000.

Filem pertama terbitan Liyana Jasmay itu juga kurang mendapat sambutan kerana berdepan dengan banyak cabaran apabila terpaksa ditayangkan serentak bersama dengan lima buah filem luar bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

2 Bidong: The Boat People

Diinspirasikan daripada sejarah pelarian Vietnam yang melarikan diri ke Pulau Bidong, Terengganu sekitar 1970-an, filem arahan pengarah terkenal, Yusof Kelana yang kedengaran hebat itu tidak dipandang penggemar filem tanah air.

Menariknya lagi, naskhah berkenaan juga menggunakan empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Vietnam.

Malangnya, naskhah berkenaan tetap gagal meraih perhatian orang ramai apabila hanya mampu mengutip jualan tiket sebanyak RM3,536 sekali gus menjadikan karya berkenaan di kedudukan tercorot sepanjang zaman sehingga kini.

3 Mendidih Bro

Naskhah Mendidih Bro mengisahkan Adi yang melakukan penggambaran sebuah dokumentari mengenai puak Orang Asli di Filipina. Dalam usaha untuk menjejaki masyarakat terbabit, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan.

Tiada tuah atau barangkali tidak mencapai standard sebuah filem, Mendidih Bro hanya mampu mendapat pulangan RM4,090, bahkan filem tersebut hanya mampu bertahan selama empat hari di 21 pawagam seluruh negara.

Selain itu, naskhah yang dibintangi Azrel Ismail, Che Puan Julianna Evans, Marlyn Guinto, Yank Kassim, Adrea Abdullah dan Amy Mastura tersebut dikatakan seolah-olah tergantung sepi tanpa promosi oleh pihak produksi dan pengedar, sehinggakan kehadirannya di pawagam tidak begitu disedari khalayak.

Bahkan, tidak banyak reviu tentang filem ini dapat diperolehi dalam carian internet.

4 Enjin No.9

Menerapkan elemen romantik bersulam komedi, filem arahan Raja Azmi, Enjin No.9 turut tersenarai dalam carta ‘sendu’ apabila hanya berjaya mengutip sebanyak RM7,466.

Filem berkenaan dibarisi Tajul Arif, Kazar, Sharifah Shahirah, Datin Fadilah Mansor, Dottie, Bila AF dan Nurul Ayuni Asyiqin.

Diterbitkan Rangkaian Melati Production, filem tersebut mengisahkan Pak Leman lakonan Kazar yang serik untuk berkahwin lagi setelah lapan kali gagal dalam perkahwinan.Jalan cerita yang agak klise dan membosankan merupakan faktor utama filem ini tidak laku bahkan dilabel oleh netizen sebagai filem syok sendiri.

5 Qhaliq

Sebelum wujudnya Paskal dan Wira, pasti ramai yang tidak tahu bahawa Hairul Azreen terlebih dahulu melakonkan watak anggota beruniform lain menerusi Qhaliq.

Menjadi filem bomba pertama di Malaysia, Qhaliq arahan Rosli Mohd Talib terbitan Aifa Motion Pictures dan dibaris pelakon terkenal tanah air seperti Hairul Azreen, Aliff Yasraff, Nur Risteena, Ahmad Idham, Syanie Aida dan Azza Elite.

Kegagalan naskhah berkenaan untuk pecah panggung dikatakan berpunca daripada kurang promosi selain ketika itu khalayak dikatakan cenderung terhadap genre romantik dan komedi.

Sepanjang tempoh tayangan, Qhaliq hanya memperoleh kutipan sebanyak RM14,000.