“Ini adalah Double Trouble sebenar,” – Awie dan Amy umum berita gembira buat peminat rock negara selepas didamaikan
Awie dan Amy merancang untuk beraksi dalam Konsert Double Trouble selepas ini sebagai hadiah buat peminat selepas hubungan keruh kedua-dua mereka sebelum ini menemui titik perdamaian.
“Ini adalah Double Trouble yang sebenar. Insya-Allah akan berlaku tidak lama lagi. Yang pastinya kami akan umumkan pada sidang media nanti,” – Awie
“Ia satu benda yang dirancang bertaraf antarabangsa. Insya-Allah, kami nak jaga jenama itu sebenarnya,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan keputusan Datuk Awie untuk melupakan perang dingin di antara dia dengan Datuk Amy dan kembali berbaik dengan penyanyi rock legenda itu.
Awie yang juga penyanyi Wings berkata, sebagai orang yang lebih muda, dia menghormati Amy yang lebih berusia daripadanya.
“Kami dah ‘rujuk’. Alhamdulillah. Saya rasa bulan ini bulan yang sangat mulia dan bulan memaafkan,” katanya.
Hubungan dua penyanyi rock legenda ini dingin selepas pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad meninggal dunia pada 2019.
Konflik timbul selepas Amy mengakui terluka dengan komen Awie yang mendakwanya mengabaikan Allahyarham Yazit ketika sakit.
Kata Amy, tuduhan yang dilempar Awie sebagai tidak berasas dan hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak saja.
Awie berkata, sebelum ada orang mengutuskan seseorang untuk berjumpa dengannya bagi membincangkan mengenai perkara itu.
“Iyalah masing-masing ada ego sendiri. Lama-lama saya fikir saya tak nak biadap kepada orang yang lebih dewasa dan saya sayang dia sebagai abang. Sebagai seorang pelopor rock.
“Dalam Malaysia tiada orang lain yang boleh dapat nombor satu kecuali Amy, kecuali Search,” katanya.
Awie berkata, dia berjumpa dengan Amy. Bersalaman, bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan sebagai adik dan abang serta kawan dan sahabat.
“Tiada apa lagi dan saya pun tak nak fikir. Makin hari makin tua, makin hari makin kubur panggil. Jadi cukuplah. Saya banyak terima kasih kepada pengaturnya dari Shiraz Entertainment. Pahalanya sangat besar,” katanya.
Awie mengakui mengambil masa beberapa minggu juga untuk bersetuju kerana tidak mahu kurang ajar terhadap Amy.
“Saya takut dalam keadaan kita marah, kita bercakap yang bukan-bukan. Jadi saya fikir panjang. Apabila saya berjumpa dengan anak saya dan berbaik semula dengan bekas isteri, di situ saya rasa cukuplah.
“Zaman perang-perang bodoh-bodoh ini saya rasa nak buang. Saya tak nak. Di situlah apabila saya dapat peluk dan cium Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Antasha,13.
“Selepas itu mana kawan-kawan saya yang bergaduh dengan saya hubungi saya, dahlah kita lupakan dan berkawan semula. Beberapa orang pun yang menghubungi saya, saya cakap begitu,” katanya.