Ini hukuman diterima lelaki pukul isteri guna topi keledar

Ini hukuman diterima lelaki pukul isteri guna topi keledar

 

Seorang lelaki menjalani hukuman penjara selama 15 bulan selepas didapati bersalah memukul isterinya menggunakan topi keledar dalam satu kejadian pada 25 Januari lalu.

Menurut laporan BH Online, tertuduh Mohd Shamsuri Rokman Yusuf mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah di Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan semalam.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 35 tahun itu didakwa sengaja memukul isterinya, Siti Norhashikin Che Mat, 35, menggunakan topi keledar berhampiran kedai makan di Paloh 2, jam 5 petang hari kejadian.

Peguam yang mewakili tertuduh, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Ahmad Firdaus Abdul Hamid merayu hukum terhadap anak guamnya dikurangkan kerana menanggung lima anak selain menjaga ibu yang sakit.

Terdahulu, tular satu rakaman di media sosial memaparkan suspek yang juga seorang buruh bertindak memukul isterinya dengan topi keledar berwarna merah dipercayai akibat perselisihan faham sebelum ditahan pada petang 28 Januari lalu.