Ini jumlah kerugian yang ditanggung pengendali Starbucks Malaysia akibat kempen boikot

Ini jumlah kerugian yang ditanggung pengendali Starbucks Malaysia akibat kempen boikot

 

Berbanding untung bersih RM15.94 juta pada suku ketiga tahun lalu, Berjaya Food Bhd (BFood) mencatat kerugian bersih berjumlah RM29.76 juta bagi tempoh sama berakhir 31 Mac 2024.

Ekoran kempen boikot yang berterusan berikutan genosid dilakukan zionis Israel di Palestin, pendapatan pengendali rangkaian kopi premium, Starbucks susut hampir separuh kepada RM138.65 juta.

“Pendapatan yang jauh lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku dikaji adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan Bfood.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, BFood mencatatkan keuntungan bersih RM53.31 juta, merosot berbanding RM86.13 juta yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam masa sama, BFood melaporkan pendapatan RM599.74 juta dan kerugian sebelum cukai RM44.65 juta.

Penurunan pendapatan dan kerugian sebelum cukai itu juga disebabkan kerugian sekali sahaja daripada pelupusan kepentingan ekuiti entiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

“Tidak termasuk perbelanjaan berkaitan pelaburan luar biasa, kerugian sebelum cukai adalah RM34.15 juta dalam tempoh semasa yang dikaji,” katanya.

Susulan itu, Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku dikaji.

“Lembaga pengarah berpendapat bahawa prestasi operasi perniagaan syarikat akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024,” menurut kenyataan itu lagi.