Ini kedudukan Malaysia dalam ranking futsal dunia yang dikeluarkan FIFA buat kali pertama

Ini kedudukan Malaysia dalam ranking futsal dunia yang dikeluarkan FIFA buat kali pertama

 

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengeluarkan ranking dunia buat kali pertama dalam sejarah membabitkan pasukan futsal lelaki dan wanita.

Difahamkan, ranking atau kedudukan pasukan futsal yang didedahkan dalam laman sesawang rasmi FIFA itu dinilai melalui sistem pemarkahan berdasarkan hierarki ‘Elo’.

Senarai dikeluarkan FIFA pada 6 Mei lalu itu menyaksikan juara lima kali dunia iaitu pasukan Brazil telah berjaya menghuni tangga teratas dengan kutipan 1568.41 mata.

Manakala skuad Portugal selaku juara bertahan Piala Dunia dan Kejohanan Eropah pula ketinggalan 40.8 mata dan berada di kedudukan kedua dalam ranking tersebut.

Sepanyol pula mengekori rapat dengan menduduki tangga ketiga bersama catatan markah 1514.42, hanya ketinggalan 13.19 mata di belakang pendahulunya, Portugal.

Tangga keempat diduduki oleh Iran selepas skuad itu berjaya mengumpul 1469.33 mata sekaligus berada di kedudukan teratas bagi pasukan futsal dari benua Asia.

Negara jiran Thailand pula menjadi pasukan kedua terbaik di Asia dengan menduduki tangga kesembilan dalam ranking futsal itu dengan markah terkumpul, 1316.27 mata.

Manakala skuad futsal negara yang dibimbing Jurulatih Terbaik Liga Futsal Thailand sebanyak tujuh kali, Rakphol Sainetngam pula berada di tangga ke-79 (971.06 mata).

Ranking futsal untuk kategori lelaki yang dikeluarkan FIFA ini adalah melibatkan 139 negara manakala skuad wanita pula hanya merangkumi pasukan dari 69 negara.

Cukup mengagumkan, pasukan futsal wanita dari Malaysia pula berjaya menduduki tangga ke-28 dalam ranking yang dipimpin oleh skuad Brazil dengan 1364.75 mata.

FIFA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ranking futsal dunia pertama itu akhirnya dikeluarkan oleh pihaknya selepas melalui satu tempoh ujian yang panjang.

“Selepas melalui tempoh ujian yang panjang, FIFA akhirnya membangunkan sistem rangking futsal dunia yang pertama. Ranking ini berdasarkan sistem penilaian Elo.

“Kedudukan bergantung kepada pertambahan atau penolakan mata berdasarkan kemenangan atau kekalahan pasukan dalam sesuatu perlawanan,” jelas FIFA dalam laman sesawang miliknya.