Ini permintaan kerajaan Malaysia kepada AS selepas Goldman Sachs bayar penuh penalti AS$2.9 bilion

Ini permintaan kerajaan Malaysia kepada AS selepas Goldman Sachs bayar penuh penalti AS$2.9 bilion

 

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) diminta agar menyerahkan sebahagian daripada denda dan penalti sebanyak AS$2.9 bilion (RM13.76 bilion) yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada Malaysia.

Ia susulan langkah bank pelaburan berpangkalan di New York itu telah membayar penuh penalti AS$2.9 bilion berhubung peranannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB, Datuk Seri Johari Ghani berkata Malaysia berhak menerima sedikit pampasan daripada jumlah yang dibayar oleh bank pelaburan berpangkalan di New York itu kepada pihak berkuasa AS.

“Kami menghargai usaha kerajaan AS dalam pemulihan dan penghantaran pulang dana 1MDB, tetapi (jumlahnya) jauh kurang daripada AS$4.5 bilion yang dicuri daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, (Malaysia) berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan, berbanding Goldman Sachs,” katanya, lapor FMT.

Johari yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, Goldman Sachs akan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa.

Sebaliknya, kata beliau, Malaysia akan terus dibebani dengan bayaran prinsipal dan faedah atas bon tersebut.

“Malaysia akan mengambil masa bertahun-tahun, jika bukan berdekad, untuk menyelesaikan hutang 1MDB yang akan menggunakan wang pembayar cukai,” ujarnya.

Goldman Sachs terlibat mengatur penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dan membenarkan AS$4.5 bilion diseleweng, sambil memperoleh fi berjumlah AS$600 juta.

Mengulas penyelesaian yang dipersetujui antara Goldman Sachs dan pentadbiran Mahiaddin Yassin empat tahun lalu, beliau berkata, jumlah terbabit tidak mencukupi untuk menampung kerugian disebabkan oleh “kegiatan penipuan yang dibolehkan berlaku dengan bantuan Goldman Sachs”.

“Jumlah penalti AS$2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS lebih daripada penyelesaian tunai AS$2.5 bilion yang dibayar kepada kerajaan Malaysia, tidak termasuk jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion dikaitkan dengan bon 1MDB yang masih dipertikaikan,” kata Johari.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menuntut tunggakan AS$1.4 bilion yang perlu dibayar bank itu menurut perjanjian penyelesaian.

Kelmarin, Reuters melaporkan, kes jenayah oleh kerajaan AS terhadap Goldman Sachs ditamatkan secara rasmi selepas bank itu membayar penuh penalti AS$2.9 bilion.

Dua bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng telah didakwa dan disabitkan kesalahan atas peranan mereka dalam kes itu.

Ng seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun manakala Leissner sedang menunggu hukuman dijatuhkan.