Ini tips buat permohonan pinjaman kereta yang mudah dan senang lulus

Ini tips buat permohonan pinjaman kereta yang mudah dan senang lulus

 

Adakah anda dalam proses membeli kereta, sama ada untuk diri sendiri atau ahli keluarga? Jika anda tidak memiliki sejumlah tunai yang besar, pasti anda sekarang sedang membuat satu lagi keputusan besar setelah memilih kereta yang mahu dibeli, iaitu memohon pinjaman daripada institusi kewangan.

Permohonan pinjaman ini bukanlah satu kerja yang kita biasa buat, maka walaupun ia sebenarnya tidaklah terlalu sukar tapi ia tetap meresahkan. Mana tidaknya, tiada jaminan untuk permohonan anda diluluskan. Jika tidak lulus, perlu ulang balik prosesnya.

Jangan risau, di sini CARSOME ingin kongsikan tips untuk meningkatkan peluang permohonan anda lulus dengan sekali hantar sahaja. Tapi sebelum kita bincangkan senarai semak, mari kita imbas kembali syarat-syarat kelayakan untuk memohon pinjaman kewangan untuk membeli kereta daripada institusi kewangan.

Syarat Kelayakan Loan Kereta

Berikut merupakan antara syarat-syarat kelayakan yang perlu anda ikuti bagi memudahkan urusan permohonan pinjaman atau loan kereta idaman anda:

1. Lesen Memandu Kelas D atau DA

Ini memang syarat yang terang dan nyata. Nak beli kereta mestilah kena ada lesen memandu yang sah, walaupun lesen P. Ini kerana sebaik-baiknya orang yang bertanggungjawab atas pinjaman adalah orang yang memandu kereta tersebut. Terdapat beberapa institusi kewangan yang memberi pengecualian permohonan pinjaman kenderaan tanpa lesen memandu dengan syarat gaji pokok mestilah melebihi RM3,000, tetapi peluang untuk lulus amatlah tipis.

2. Kelayakan Gaji Beli Kereta

Harga kereta yang disarankan dan dikatakan “mampu milik” bagi seseorang individu adalah kereta yang berharga tidak lebih daripada jumlah pendapatan atau gaji setahun individu tersebut. Manakala bagi ansuran bulanan pula, anda juga disarankan untuk memilih kereta yang bayaran bulanannya tidak melebihi 15 peratus daripada gaji anda.

Namun begitu setiap bank mengenakan syarat gaji minimum yang berbeza untuk setiap permohonan pinjaman mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bagi anda yang ingin memohon pinjaman untuk membeli kereta, anda mestilah berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi umur persaraan semasa tempoh pembiayaan tamat, dengan gaji bulanan minimum sekurang-kurangnya RM1,500 dan ke atas.

3. Penjamin Kereta atau Guarantor Kereta

Jika gaji anda kurang daripada syarat gaji minimum yang ditetapkan oleh pihak bank, penjamin atau guarantor kereta diperlukan untuk menyokong permohonan pinjaman kenderaan anda. Penjamin kereta mestilah daripada kalangan ibu atau bapa atau pasangan (suami/isteri) yang bekerja dan gaji penjamin hendaklah melebihi RM2,000. Selain jumlah gaji, komitmen kewangan penjamin juga boleh mempengaruhi permohonan pinjaman.

4. Penyata Bank & Penyata KWSP atau EPF

Kedua-dua dokumen ini perlu untuk membuktikan pendapatan bulanan pemohon, selain melihat kemampuan pemohon untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Segala butiran di atas kami sediakan sebagai syarat kelayakan secara umum, namun perubahan terma dan syarat bergantung kepada institusi kewangan. Setiap bank mungkin mengenakan syarat yang berbeza. Anda dinasihati untuk menghubungi pihak bank yang berkenaan untuk keterangan lebih lanjut.

Baiklah, sekiranya berdasarkan senarai di atas, anda memang layak untuk memohon loan kereta, ayuh ke langkah seterusnya. Di bawah ini kami sediakan senarai semak untuk membantu meningkatkan peluang permohonan anda diluluskan.

Checklist Untuk Permohonan Loan Mudah Lulus

1. Kenal Pasti Punca Permohonan Pernah Ditolak

Ini bagi yang pernah buat permohonan tapi ditolak. Perasaannya sama macam bila cinta ditolak, jadi kita pasti tak mahu merasakannya sekali lagi. Jadi untuk percubaan seterusnya, hubungi pihak bank atau perunding jualan kereta yang uruskan permohonan dahulu dan dapatkan nasihat mereka. Ini merupakan jalan paling singkat bagi memastikan permohonan baharu lulus.

Bagi yang baru pertama kali mahu buat permohonan pinjaman kereta pula, teruskan ke poin seterusnya.

2. Selesaikan Tunggakan Bil atau Hutang

Bila sebut rekod kewangan, mesti yang pertama orang sebut adalah skor kredit dan CCRIS. Ya, nak periksa rekod CCRIS dengan bank memang mudah, tapi yang lebih penting adalah apa yang boleh kita buat untuk pastikan rekod kewangan kita cantik.

Jika anda ada hutang pinjaman pelajaran seperti PTPTN, pastikan tiada tunggakan. Selain itu, terdapat juga hutang-hutang lain yang diambil kira seperti ansuran membeli perabot, tunggakan bil syarikat telekomunikasi, kad kredit dan lain-lain. Pastikan anda sentiasa membayar semua komitmen kewangan dalam waktunya.

Jika ada menyertai Program Pengurusan Kredit di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), anda akan disenarai hitam oleh bank kerana anda dianggap tidak mampu menguruskan pinjaman sedia ada.

3. Semak & Kira Komitmen Kewangan Anda

Senaraikan dan kira jumlah komitmen kewangan anda setiap bulan, dan dapatkan peratusan komitmen berbanding pendapatan bulanan anda. Masukkan sekali anggaran komitmen pinjaman kereta yang bakal dipohon. Seeloknya, setelah dicampurkan semua, komitmen bulanan anda tidak melebihi 70 peratus daripada pendapatan bulanan. Inilah yang selalu disebut sebagai nilai DSR (Debt Service Ratio).

Financial literacy should be taught at a young age before they become fresh graduates

Sekiranya terlebih, anda perlu buat keputusan untuk memilih komitmen mana yang tak penting atau kurang penting berbanding kereta baharu, untuk dibuang. Jangan lupa buat anggaran komitmen pemilikan kereta yang lain seperti kos bahan api, tol, parkir di tempat kerja dan di kediaman jika ada, road tax, insurans, dan penyelenggaraan.

4. Anda Bekerja Sendiri?

Terdapat pelbagai pilihan untuk individu yang bekerja sendiri yang ingin memohon pinjaman kereta tanpa slip gaji. Bank dan institusi kewangan menawarkan pinjaman khas untuk mereka yang bekerja sendiri yang mempunyai keperluan berbeza daripada pinjaman bank tradisional.

Kalau anda merupakan pemilik syarikat, pastikan syarikat anda telah didaftarkan dengan SSM dan sediakan penyata syarikat sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan yang terkini.

Tanpa slip gaji, dokumen yang paling penting adalah penyata bank yang akan membuktikan pendapatan anda. Bagi pemandu e-hailing, dapatkan dokumen berkaitan daripada syarikat e-hailing seperti Grab, AirAsia atau inDrive.

Seterusnya, bagi mengukuhkan lagi permohonan anda, sertakan juga borang-borang LHDN yang membuktikan anda tidak culas membayar cukai. Dokumen ini akan memberi gambaran bahawa anda mampu mengurus kewangan dengan baik walaupun bekerja sendiri.

5. Dapatkan Penjamin 

Jika anda tidak yakin dengan skor kredit atau anda ada masalah dengan dokumen sokongan, anda juga boleh cuba cara ini. Apa itu penjamin? Penjamin merupakan seseorang individu yang berjanji untuk membayar baki hutang peminjam sekiranya anda gagal untuk memenuhi tanggungjawab pinjaman anda.

Ciri-ciri penjamin yang bagus untuk membantu tingkatkan peluang permohonan loan anda diluluskan:

  • Memiliki gaji pokok sekurang-kurangnya RM2000
  • Memiliki gaji bersih sekurang-kurangnya RM2000
  • Komitmen kewangan yang rendah
  • Skor kredit yang cantik

6. Dokumen Yang Lengkap

Untuk memudahkan permohonan diluluskan, permudahkanlah urusan pegawai bank yang menguruskan permohonan. Pastikan anda sertakan dokumen yang cukup lengkap dan juga telah dikemas kini seperti yang diminta.

7. Dapatkan Pinjaman Pralulus

Pinjaman kereta pralulus merupakan pinjaman kereta yang telah diluluskan dahulu sebelum anda memilih kereta yang anda nak beli. Ada banyak kelebihannya berbanding pinjaman konvensional yang memerlukan masa menunggu yang lama tetapi berisiko untuk tak diluluskan.

Dengan pinjaman kereta pralulus, anda akan tahu berapa pinjaman maksimum sebelum anda cari kereta yang anda nak. Dengan cara ini, anda boleh beli kereta berdasarkan kemampuan anda. Contohnya, anda mohon pinjaman kereta pralulus dan dipraluluskan untuk RM80,000. Jadi, anda dah boleh beli kereta dalam had ini. Tetapi, tak bermakna anda perlu habiskan had pinjaman RM80,000 itu. Anda boleh beli berdasarkan had, kira bayaran ansuran bulanan dan tetapkan bajet yang boleh anda bayar.