Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah atas 3 tuduhan berhubung ugutan, mengaibkan anggota bawahan serta orang awam

Pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap kesemua tiga pertuduhan berhubung ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.
“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan … Saya faham pertuduhan,” katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali dengan nama Inspektor Sheila di media sosial, didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”.
Dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni atas pertuduhan menyebut pangkat Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan cara tidak wajar dengan maksud mengaibkan kehormatan penama itu.
Laporan lanjut menyusul.