Iri hati tengok orang lain hidup bermewah, terus terdiam bila suami pujuk dengan makna kaya sebenar

Iri hati tengok orang lain hidup bermewah, terus terdiam bila suami pujuk dengan makna kaya sebenar

 

Setiap manusia di atas muka bumi dikurniakan rezeki masing-masing. Rezeki yang diterima dalam pelbagai bentuk seperti banyak wang ringgit, harta dan sebagainya.

Selain itu, rezeki juga boleh diberikan dalam bentuk kesihatan yang baik, anak-anak dan isteri yang soleh solehah, ketenangan jiwa dan macam-macam lagi bentuk rezeki yang lain.

Walau apa pun tahap yang kita kecapi, semua orang perlulah bersyukur dan sentiasa menyokong satu sama lain terutamanya pasangan suami isteri.

Tidak semua orang berpeluang untuk mempunyai gaji yang lumayan, tetapi semua orang pasti mempunyai rezeki masing-masing.

Kita mesti pernah terdengar ada kes isteri mengeluh kerana suaminya tidak mampu memberikan kemewahan kepada keluarganya.

Perkara ini sering berlaku apabila si isteri sering melihat rakan-rakannya atau orang di sekelilingnya hidup dalam suasana mewah.

Manakala, keadaan kehidupan si isteri pula kelihatan agak berlainan dengan apa yang dilihatnya, sama ada menerusi kedua-dua belah matanya ataupun paparan di media sosial.

“Bang, kenapa kita tak dapat duduk dekat rumah besar macam macam orang lain?”

Jika ada perkara sebegini berlaku, si suami mungkin boleh menjelaskan dengan tenang tentang ‘makna kaya sebenar’ kepada si isteri.

Berikut merupakan panduan yang boleh diguna pakai untuk menjelaskan kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada isteri tentang makna kaya sebenar. Jika diterangkan dengan jelas dan terperinci, pastinya mereka akan diam terduduk bersetuju dengan kita.

Makna Kaya Sebenar

Ramai manusia menganggap bahawa kekayaan dari segi harta benda adalah satu lambang kebahagiaan.

Hakikatnya, perkara ini bersifat ironi jika jiwa manusia itu sendiri tidak pernah merasa cukup dengan harta dunia.

Kekayaan sebenar bukan dinilai dengan berapa banyak harta yang dimiliki, tetapi berapa banyak kita memberi dan berkongsi.

Selain itu, kekayaan sebenarnya juga merujuk kepada ketaqwaan dan jiwa seseorang daripada sifat meminta-minta.

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْس 

“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).”

(Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah &; Ahmad)

Oleh sebab itu, masyarakat perlu yakin dan percaya bahawa rezeki Allah luas, dan menunaikan zakat tidak menjadikannya miskin, malah itulah kaya sebenar.