Isham Jalil meroyan gara-gara dibahan Annuar Musa di FB

Isham Jalil meroyan gara-gara dibahan Annuar Musa di FB

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil koyak lagi apabila mengkritik dengan pedas Tan Sri Annuar Musa, setelah berasa dirinya yang menjadi sasaran kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Sebaliknya, Annuar dalam kenyataan hari ini mengingatkan bahawa beliau membuat kenyataan di dalam Facebook secara umum dan tidak merujuk kepada mana-mana individu.

“Seingat saya, posting FB saya tidak pun merujuk mana-mana individu. Saya memilih meluah pendapat secara umum. Namun banyak juga laporan dan portal yang mengaitkan secara langsung dengan individu-individu tertentu.

“Ada juga individu yang mengandaikan merekalah yang saya maksudkan. Kenyataan umum terus dijadikan polimik untuk serangan bersifat peribadi.

“Semua ini boleh saya fahami. Lebih-lebih lagi bila ia jelas datang dari kelompok yang berpuak, yang sememangnya ketara dalam politik hari ini. Apa lagi bagi yang memilih berkhidmat kepada individu sebagai profesion mereka. Itu pun kita boleh memahaminya,” katanya seperri dilapor portal AgendaDaily.

Annuar berkata beliau tidak akan terseret ke arah pertikaian personaliti sebaliknya bulan Ramadan ini wajar digunakan untuk lebih banyak beribadat.

Terdahulu, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil secara terang-terangan mengkritik Annuar yang disifatkannya sebagai seorang yang berlagak.

“Pagi tadi Menteri Komunikasi Annuar Musa berlagak lagi, dia kata yang orang-orang yang bukan ketua cawangan (macam saya) tidak boleh buat kenyataan kononnya macam ketua parti.

“Masalah dengan Annuar ini, bila ketua parti (Presiden) cakap pun dia sanggah dan tidak boleh terima, seolah-olah dia lebih tinggi dari ketua parti, dia juga pernah kata dia “lebih senior dari Presiden parti”,” kata Isham.

Malah, Isham juga berkata menteri komunikasi itu suka mengutuk orang tetapi ruangan komen di laman Facebook ditutup.

“Ada orang itu jadi Menteri Komunikasi. Dia suka kutuk orang. Tapi bila dia post dalam Facebook, ruangan komen pun dia tutup dan hanya buka untuk kawan-kawan baik dia sahaja untuk komen dan puji atau up dia.

“Bila dia kutuk orang dia seronok, tapi bila dia kena kritik dia koyak rabak. Macamanalah jadi Menteri Komunikasi tapi takut untuk berkomunikasi,” katanya.

Isham juga berkata dia melihat Annuar lebih banyak mengikut presiden parti lain berbanding UMNO.

“Saya lihat presiden parti yang dia ikut bukanlah presiden parti kita (UMNO) tetapi presiden parti lain.

“Kepada Tan Sri Annuar Musa, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah jua. Dan, bukalah ruangan komen di Facebook itu, janganlah jadi penakut sangat, budak sekolah pun berani buka komen,” katanya.