Isham luah kecewa tindakan MB Kedah samakan ayahnya dengan ikan seluang
Pas mutakhir ini nampaknya langsung tidak mengambil semangat Ramadan untuk memperbaiki kembali hubungannya dengan UMNO.
Malah seolah-olah Pas semakin ghairah pula melukakan perasaan pihak yang pernah membantu mereka mendapatkan kekuasaan, meskipun dengan cara yang tidak syar’ie.
Ini selepas Isham memberi amaran agar MB Kedah itu menarik semula fitnah mengaitkannya dengan dokumen bocor atau dikenali sebagai ‘PasLeak’.
Ternyata gelaran ‘anak seluang’ itu membangkitkan kemarahan Isham. Dia berkongsikan perasaannya itu dalam hantaran terbaru FBnya sebentar tadi.
MB Kedah Sanusi panggil saya anak Seluang. Seluang ini seekor binatang. Maksudnya dia panggil saya binatang dan dia panggil ayah saya juga binatang.
Saya tidak kisah orang panggil saya dengan nama apapun, dalam politik itu perkara biasa. Sebelum ini pemimpin PAS pun selalu label orang lain dengan nama macam-macam binatang.
Tetapi jangan label dan panggil ayah saya dengan nama binatang. Itu saya tidak boleh terima dan saya tidak maafkan. Ayah saya memang asal orang miskin dan bukan berpangkat besar, tetapi dia bukan binatang. Jangan hina orang miskin atau berpangkat kecil. Dan jangan hina orang tua.
Salam.
Terdahulu sebelum itu, presiden Pas dalam kenyataannya ketika ditanya mengenai kesediaan Pas bersama dalam khemah besar PH menentang UMNO BN dalam PRU-15 nanti memberikan alasan menolak cadangan tersebut kerana mendakwa terdapat kucing dan tikus di dalam PH.