Isham tempelak Abdul Hadi, beri duit pada pengundi bukan sedekah tapi rasuah

Isham tempelak Abdul Hadi, beri duit pada pengundi bukan sedekah tapi rasuah

 

Dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang kepada pengundi sebagai sedekah, disifatkan kenyataan tidak berasas kerana tindakan itu adalah suapan atau sogokan untuk meraih undi.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata sedekah tidak ada timbal balas dan ia ikhlas diberikan kepada orang yang memerlukan.

“Jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ia bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah.

“Memberi duit kepada pengundi semasa pilihan raya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi PAS itu bukan sedekah, itu sogokan atau rasuah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Isham berkata, jika logik oleh Ahli Parlimen Marang itu diguna pakai, maka sesiapa pun boleh memberi sedekah dan timbal balas diharapkan daripada perbuatan itu boleh dianggap tidak penting.

“Jika kontraktor projek tebatan banjir yang mendapat kontrak secara rundingan terus RM15 billion ingin memberi duit kepada ahli politik Perikatan Nasional (PN) atau PAS dalam kerajaan yang meluluskan kontrak ini pun bolehlah dikategorikan sebagai sedekah.

“Duit ini untuk mereka guna untuk sedekah kepada pengundi dalam pilihan raya dan sebahagian duit dari dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion yang diberikan komisyen oleh kontraktor kepada broker kepada menteri atau ahli politik kerajaan PN yang sedang disiasat SPRM itu pun bolehlah dikira sedekah, jika dalil Abdul Hadi ini diguna pakai,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan Abdul Hadi supaya tidak mencari dalil semata-mata mahu menghalalkan rasuah kepada pengundi.

“Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihan raya?

“Betul politik memerlukan wang namun jika inilah sistem sedia ada, ia adalah suatu sistem yang amat buruk dan perlu diubah dan bukannya dibuat dengan lebih teruk umpama politik wang ‘on steroid’ seperti dilakukan oleh PN dalam pilihan raya baru-baru ini dan semasa menjadi kerajaan selama 17 bulan,” katanya.