Isham tempelak Peja, jangan nak sibuk hal Zahid, pemimpin PN siap sedialah jadi kluster mahkamah

Isham tempelak Peja, jangan nak sibuk hal Zahid, pemimpin PN siap sedialah jadi kluster mahkamah

 

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, menempelak Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kerana membuat kenyataan yang didakwanya mencampuri jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ahmad Faizal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun itu, tidak perlu mencampuri perkara berkaitan lantikan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini kerana jawatan ini adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, bukannya kamu atau parti kamu BERSATU

“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula berbanding sibuk dengan kes mahkamah orang lain.

“Kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO yang berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan terpilih oleh pemimpin parti kamu dulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Faizal atau Peja yang menggesa Ahmad Zahid direhatkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan.

Semalam, Ahmad Faizal berkata, permohonan Presiden UMNO itu untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan mengganggu proses perbicaraan.

Isham berkata, pemimpin dalam BERSATU perlu bersedia untuk menjadi kluster mahkamah 2.0 akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Katanya, ini kerana ketika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, ramai pemimpin mereka yang terlepas daripada pendakwaan kes jenayah, apabila wakil rakyat parti itu bertindak melompat parti.

“Segala tindakan pemimpin parti itu sebelum ini tidak akan terlepas daripada proses pengadilan.

“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu saja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?

“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.

“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan, di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” katanya.