ISMA persoal kerajaan PN kenapa pesta seks luar tabii tidak diambil tindakan

ISMA persoal kerajaan PN kenapa pesta seks luar tabii tidak diambil tindakan

BERIKUTAN pelucutan bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam mendengar dan membicarakan kes-kes seks luar tabii dan kaitannya dengan kes Iki Putra, kita ingin mempersoalkan mengapa sehingga kini kita tidak ada suatu pun tindakan undang-undang sivil diambil sehingga hari ini.

Jika benarlah bidang kuasa tersebut dipindah kepada mahkamah sivil seharusnya ia tidak dilengah-lengahkan.

Secara teknikalnya, hanya laporan polis dari Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang akan membolehkan tindakan dalam undang-undang sivil tersebut mengambil tempat terhadap Iki Putra dan ‘rakan-rakannya’ itu sejak Mahkamah Syariah hilang kuasanya. Namun, saya difahamkan tiada apa tindakan susulan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Hal ini sangat membimbangkan kerana jika benar tiada apa-apa tindakan susulan dibuat, tiada tindakan boleh diambil di mahkamah sivil. Maka, tidak pelik jugalah pejuang-pejuang ‘songsang’ terkinja-kinja bersorak gembira meraikan ‘kemenangan’ dalam kes ini pada minggu lalu. Sepatutnya mereka lebih takut kerana hukuman sivil adalah jauh lebih berat dan mencederakan.

Oleh itu, kita menggesa agar penguatkuasa agama JAIS yang menjadi saksi ketika serbuan di dalam ‘pesta seks’ di Bangi ketika itu membuat laporan polis terhadap mereka kerana melakukan kesalahan dibawah seksyen 377A Kanun Keseksaan ini.
Oleh kerana ianya di bawah mahkamah sivil, maksudnya penguatkuasa agama JAIS perlu membuat laporan polis terhadap semua yang terlibat dalam kelakuan luar tabii tersebut, tidak kira beragama Islam atau tidak bagi membolehkan siasatan polis pula dibuat.

Jika penguatkuasa agama JAIS tidak membuat langkah ini, maka kita boleh anggap ini benar-benar kemenangan kepada puak-puak songsang yang berjaya membuka ‘floodgate’ yang menconteng arang seluruh sistem perundangan syariah di Malaysia.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA