ISMA tuduh ‘serangan halus’ terhadap Islam bukan kebetulan tapi dirancang

ISMA tuduh ‘serangan halus’ terhadap Islam bukan kebetulan tapi dirancang

 

DALAM masa seminggu dua ini sudah berlaku 3 insiden yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Insiden-insiden ini ialah :-

1. Filem ‘Mentega Terbang’

2. Perarakan Wanita Sedunia ‘Pelangi’

3. Program lawatan ke gereja

Saya tidak pasti apakah ini satu bentuk tekanan yang tersusun yang bertubi-tubi atau hanya kebetulan. Apa pun ianya tetap menggangu perasaan, pemikiran dan sensitiviti umat Islam.

Walaupun pihak berkuasa sedang melakukan siasatan, namun hakikat telah terjadi dengan jayanya peristiwa ini adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.

‘Serangan-serangan’ halus kepada minda dan jiwa umat Islam sebegini sewajibnya tidak berlaku kerana saya yakin mereka tahu umat Islam akan marah. Kenapa masih berdegil dan terus menekan pemikiran umat Islam?

Apa objektif mereka?

Saya amat yakin ini semua bukan tidak disengajakan tetapi ia dirancang untuk menguji perasaan dan tindakan umat Islam.

Apapun justifikasi yang diberikan oleh menteri, ia tetap merisaukan umat Islam dan ini pasti akan menimbulkan perasaan marah sehingga benci-membenci di kalangan rakyat.

Bagaimanalah rakyat akan dapat menikmati perpaduan kalau saban hari orang Islam sentiasa ditekan?

Lebih malang apabila perkara ini cuba ditimbulkan di dalam parlimen, MP berkenaan telah ditekan sehingga beliau terpaksa menarik balik kenyataan yang mempersoalkan kejadian perarakan tersebut.

Dengan peristiwa ini saya menjangkakan adalah sesuatu yang mustahil akan berlaku perpaduan di kalangan rakyat pelbagai agama. Macam mana mahu bersatu kalau umat Islam sentiasa ditekan? Logik akal pun takkan boleh terima.

Kedua, jika kerajaan tidak mengambil tindakan yang tegas saya yakin perkara ini tidak akan berhenti disini malah akan ada lagi kejadian yang menekan pemikiran dan jiwa umat Islam. Dalam keadaan pemimpin politik Melayu yang lemah dan berpecah ini, maka amat mudah untuk pihak lain menjalankan agenda mereka.

Penyelesaiannya hanya boleh berlaku apabila kerajaan mengambil tindakan yang tegas dan umat Melayu kembali bersatu. Namun apakah ini akan berlaku?

Saya amat sangsi kerana orang Melayu terbukti amat sukar untuk bersatu. Saya harap tuduhan saya ini tersasar tetapi jiwa saya merasakan ia benar.

Aminuddin Yahaya
Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA)