Ismahalil didapati bersalah edar dadah, berdepan hukuman gantung

Ismahalil didapati bersalah edar dadah, berdepan hukuman gantung

Bekas penyampai radioIsmahalil Hamzah didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis kira-kira dua tahun lalu.

Memetik laporan dari Mstar,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan agar Ismahalil membela diri. Perkara diputuskan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tuduhan.

Dadah ditemui dalam bilik tertuduh

Dalam penghakiman tersebut, Muhammad Jamil menyatakan mahkamah telah mendapat 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh berada dalam kawalan dan jagaannya.

“Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah daripada lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.
“Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut.
“Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh,” katanya.

 Pilih beri keterangan bersumpah untuk bicara bela diri

Setelah diberi tiga pilihan untuk bicara membela diri, tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah dalam kandang di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.

Peguam bela tertuduh iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan lima saksi pembelaan termasuk tertuduh akan dipanggil memberi keterangan dan memohon tarikh prosiding itu pada 30 dan 31 Mei ini.

Dalam pada itu, bekas penyampai radio itu telah menangis teresak-esak sambil memandang anak-anak dan isteri yang berada di galeri awam.

Terdahulu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.