Ismail dedah tujuan sebenar Noh dilantik anggotai kabinet
Ketua Umno Selangor Noh Omar dilantik sebagai menteri Kabinet untuk membantu merampas kembali negeri itu daripada PKR, kata Ismail Sabri Yaakob.
Perdana menteri mendedahkan, ketika barisan Jemaah Menteri, beliau ingin melantik Noh sebagai Menteri Undang-undang namun Ahli Parlimen Tanjong Karang itu meminta beliau diberi portfolio yang “dekat” dengan rakyat.
“Ketika saya perdana menteri, ketika itu Noh tiada jawatan, saya fikir kalau kita beri jawatan kepada pemimpin Selangor ada harapan untuk kita rampas balik Selangor.
“Saya ingat nak bagi dia menteri undang-undang supaya dia lagi ke hadapan dalam Parlimen tapi, dia minta diberi jawatan yang boleh jaga rakyat. Jadi saya beri dia menteri usahawan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi),” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor.
Menurut laporan portal FMT, Ismail kemudian secara berseloroh meminta Noh menyalurkan “minyak” atau dana untuk menggerakkan jentera BN Selangor bagi menghadapi PRU yang dikatakan “sangat hampir”.
“Untuk Selangor, Insya Allah ‘minyak’ jangan bimbang.. tak pernah waktu PRU sebelum ini seperti di Kota Raja, Sungai Kandis, Seri Setia, walau kita pembangkang… walau tak banyak minyak…kita ada juga minyak. Ini dah jadi kerajaan, tentulah banyak minyak,” katanya sambil disahut sorakan perwakilan.
“Koman-koman minyak boleh la dia (Noh) bagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail menggesa akar umbi BN menjadi lidah kerajaan dengan menghebahkan berita baik yang telah dilaksanakan oleh pimpinannya termasuk pemberian subsidi tertinggi berjumlah RM77 bilion.
“Kita harus perjelaskan kepada rakyat di akar umbi dan di media sosial… gunakan media sosial untuk hebahkan berita baik seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang mendapat sokongan rakyat.
“PRU dah tak lama dan kita harus buat kerja seumpama akan ada PRU esok. Parti kita harus digambarkan sebagai parti yang kuat menerusi kesepakatan kita,” katanya.
Beliau kemudian menjelaskan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang berjaya memberi kestabilan politik sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk masuk ke negara ini.
“Dengan MoU keadaan negara lebih stabil, dan kita boleh tumpu hal ekonomi, pergi negara-negara untuk tandatangan MoU (pelaburan). Mereka kata kalau Malaysia aman kita datang, kalau tak aman akan pergi ke negara lain kerana tak nampak tak stabil ketika itu adalah kita, Indonesia dan Vietnam ekonominya stabil sebab politik mereka stabil.” katanya.
Dengan kestabilan politik itu juga, beliau berkata, episod pertukaran perdana menteri dapat ditamatkan, yang mana katanya “berita” itu memberi imej negatif kepada negara di mata dunia.
“Bila jadi perdana menteri, negara pertama yang saya lawati adalah Indonesia sebagai tradisi bagi mana-mana perdana menteri selepas dilantik. Saya bagi tahu bapak Jokowi (Presiden Indonesia), jangan keliru dan jangan bimbang selepas 3 perdana menteri dalam satu penggal, tiada lagi pertukaran.
“Kalau kerajaan tumbang pun, kita adakan PRU terus,” kongsinya.