Ismail dilapor makin ‘cemuih’ melayan pemimpin Bersatu

Ismail dilapor makin ‘cemuih’ melayan pemimpin Bersatu

Ketua Wanita Bersatu (Serikandi) Rina Harun hari ini tampil menyokong kenyataan ketua penerangan parti itu Wan Saiful Wan Jan semalam yang mengeluh mengenai ‘cara’ perdana menteri melayan pertemuan dengan delegasi PN baru-baru ini.

Menurut Malaysiakini, Rina dilaporkan berkata delegasi yang berjumpa Ismail Sabri Yaakob itu memang telah diputuskan secara rasmi oleh parti untuk mewakili mandat Bersatu.

“Saya kira sebenarnya perjumpaan kita (PN) dalam parti telah memutuskan perjumpaan itu diwakili oleh mereka yang telahpun disebut sebagai wakil daripada parti macam daripada Bersatu – Hamzah Zainudin dan Azmin (Ali).

“Jadi, jika itu yang diputuskan dalam parti, jadi saya kira itulah wakil rasmi parti untuk berjumpa dengan perdana menteri untuk bincangkan hal berkaitan PN dan Bersatu,” katanya pada sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Ismail Sabri ‘menipu’ berhubung kenyataan dia sudah mengadakan pertemuan bersama pimpimpin PN pada dua minggu lalu.

Sebaliknya, Wan Saiful menyoal mengapa Ismail seakan takut untuk berjumpa dengan pemimpin dalam kerajaan gabungan yang sama.

““Kalau setakat jumpa waktu lunch (makan tengah hari) itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya,” katanya.

Wan Saiful juga berkata wakil rasmi PN yang dinamakan merupakan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Penolong Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

Pada 13 Ogos, Ismail Sabri berkata dia telah mengadakan pertemuan bersama PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

“Pertemuan sudah dilakukan, PN dah sampaikan pandangan mereka dan saya pun dah sampaikan pandangan saya, jadi setakat itu sahaja.

“Saya juga rasa perkara ini tidak perlu lagi dibangkitkan,” kata Ismail, lapor media tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan yang memutuskan untuk bergerak solo menghadapi pilihan raya umum ke1-15, Rina berkata ia terpulang kepada pendirian parti masing-masing.

“Itu terpulang kepada pendirian parti masing-masing. Saya tak boleh nak kata, itu parti dia.

“Tapi kami di Bersatu ni kita persiapan akan terus jalankan pendekatan mendekati rakyat dan akan teruska usaha (itu).

“Apa yang penting bagi kami, bukan sekadar menang pilihan raya tapi isu-isu rakyat itu yang perlu kita utamakan,” katanya.